TONGOD: Durian merah bukan sahaja buah eksotik tropika yang berkhasiat, malah berpotensi diketengahkan sebagai produk makanan baharu di negara ini.
Keunikan durian merah menjadi inspirasi kepada ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah untuk mencadangkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) menjalankan kajian menggunakan teknologi baharu terhadap varieti bibit tanaman eksotik itu.
Beliau optimis teknologi agronomi moden mampu menghasilkan bibit durian merah berkualiti tinggi dengan saiz pokok yang lebih rendang dan rendah berbanding tanaman tradisional sedia ada.
Kelazatan isi durian merah bukan sahaja menjadi makanan tradisi masyarakat Sungai di Tongod, Kinabatangan, Telupid dan Beluran, malah turut menjadi buruan pencinta rasa di Sabah dan Sarawak.
Isi durian merah kebiasaannya ditumis dengan tambahan sedikit perisa untuk dijadikan sambal, dan ia merupakan menu paling popular di daerah utara Sabah, selain berpotensi menembusi pasaran makanan di rantau Asia.
Pengerusi Kumpulan SEDCO itu menggesa MAFFI menjalankan kajian varieti cantuman agronomi baharu bagi menghasilkan bibit yang rendah dan rendang, seterusnya dipromosikan sebagai tanaman domestik dalam industri pertanian Sabah.
Masiung yakin Menteri MAFFI, Datuk Jamawi Jaafar yang berpengalaman luas dalam industri pertanian berasaskan durian, mampu mengetengahkan varieti durian merah sebagai tanaman berteraskan pendekatan moden.
Menurut beliau, apabila durian merah dijadikan tanaman utama di negeri ini, pengeluaran buah eksotik itu akan meningkat sekali gus meluaskan pasaran.
Jelasnya, tanaman warisan yang menjadi kegemaran masyarakat Sungai di empat daerah utara Sabah itu merupakan tanaman bermusim.
Uniknya, buah durian merah tidak akan luruh walaupun telah matang. Pokoknya yang besar dan tinggi memerlukan khidmat penduduk tempatan yang mahir memanjat untuk memetik hasil.
Dengan rasa lemak manis, kandungan gula rendah serta hasil tinggi sehingga 200 biji sepokok, durian merah diyakini berpotensi besar sebagai produk agropelancongan baharu yang unik.
































