Dr. Joachim (duduk, tengah) bersama tetamu jemputan lain.
SANDAKAN: Budaya makanan tradisional berperanan penting dalam menghubungkan generasi, memperkukuhkan hubungan kekeluargaan serta membina jambatan perpaduan dalam masyarakat majmuk.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, makanan tradisional bukan sekadar hidangan, sebaliknya melambangkan warisan, sejarah dan jati diri sesuatu kaum yang diwarisi turun-temurun.
“Melalui makanan, kita dapat mengenang asal-usul serta jasa nenek moyang, di samping menyemai nilai hormat, kebersamaan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Festival Makanan Tradisional Cina 2026 anjuran Persatuan Masyarakat Tiong Hwa Bersatu Sandakan di sini, hari ini.
Dr. Joachim berkata, terdapat sekurang-kurangnya 15 etnik Cina di daerah Sandakan, termasuk Teochew, Hakka, Hokkien dan lain-lain, yang masing-masing memiliki keunikan budaya serta tradisi masakan tersendiri.
Sehubungan itu, katanya, penglibatan aktif persatuan-persatuan etnik dalam menampilkan kepelbagaian sajian tradisional menerusi penganjuran festival seumpama ini amat penting dalam usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya.
“Festival seperti ini bukan sahaja mempamerkan kepelbagaian masakan tradisional, malah membuka ruang kepada masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang untuk berinteraksi serta saling memahami,” katanya.
Pada majlis tersebut, Dr. Joachim turut menghargai usaha semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Festival Makanan Tradisional Cina 2026 dan berharap agar festival berkenaan dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang mampu menyatukan masyarakat majmuk di Sabah.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh komitmen Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU), khususnya berkaitan usaha penambahbaikan serta kestabilan bekalan air di Sandakan.
Menurutnya, beliau bersama kakitangan kementerian akan mengadakan lawatan kerja ke beberapa kawasan di daerah Sandakan, Kinabatangan dan Telupid sepanjang esok dan lusa bagi mengenal pasti serta menangani permasalahan berkaitan bekalan air, jalan raya, pembentungan, kemudahan utiliti awam dan pembangunan infrastruktur asas.
































