TAMPARULI: Proses penamaan calon bagi pemilihan Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh kawasan DUN N.14 Tamparuli bermula hari ini, menandakan satu langkah penting ke arah pengamalan demokrasi sehingga ke peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.14 Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pemilihan itu merupakan sebahagian daripada realisasi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, yang memberi peluang kepada penduduk kampung menentukan kepimpinan komuniti mereka secara langsung.
Menurut beliau, pemilihan JKKK secara undian itu dilaksanakan serentak di 94 buah kampung berdaftar di DUN Tamparuli, sekali gus menjadikan kawasan tersebut sebagai DUN pertama di Sabah yang melaksanakan pemilihan JKKK secara demokrasi.

“Kita mahu demokrasi diamalkan sehingga ke akar umbi. Inisiatif ini membuktikan komitmen untuk memastikan suara rakyat di peringkat kampung dihormati melalui proses yang telus, adil dan berintegriti.
“Keseluruhan proses pemilihan ini dikendalikan oleh Pejabat Daerah Kecil Tamparuli selaku urusetia rasmi yang dilantik oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), dengan kerjasama pejabat UPPM Tamparuli bagi memastikan pelaksanaannya tersusun dan berintegriti,” katanya ketika dihubungi media selepas proses penamaan calon.
Tinjauan mendapati proses penamaan calon yang bermula seawal jam 9 pagi di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Kecil Tamparuli berjalan lancar, dengan sebanyak 402 borang pencalonan bagi jawatan Pengerusi dan Setiausaha JKKK diterima.
Daripada jumlah itu, 25 buah kampung mencatatkan kemenangan tanpa bertanding, manakala dua buah kampung tidak mempunyai sebarang calon yang mendaftarkan pencalonan.
Selebihnya, sebanyak 67 buah kampung akan menyaksikan pertandingan apabila masing-masing menerima lebih daripada satu pencalonan bagi jawatan Pengerusi dan Setiausaha JKKK.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran memaklumkan bahawa Pejabat Daerah Kecil Tamparuli akan bertanggungjawab mengurus, menyelaras dan memantau keseluruhan proses pemilihan, termasuk penamaan calon, tempoh kempen, pengundian, pengiraan undi serta pengumuman keputusan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua penduduk kampung di kawasan DUN N.14 Tamparuli agar memberikan kerjasama sepenuhnya dan mengambil bahagian secara bertanggungjawab bagi memastikan pemilihan kepimpinan JKKK yang berwibawa, berfungsi dan berkesan.
Untuk rekod, tempoh kempen bermula serta-merta hari ini hingga 14 Februari, manakala hari pengundian, pengiraan undi dan pengumuman keputusan dijadual berlangsung pada 15 Februari 2026 (Ahad) dari jam 1 petang hingga 4 petang.
Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Hannevy W. Harry dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Jeffry Teo.






























