MAKKAH: Yang di-Pertuan Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Haji Aman bertemu dengan para pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di Mesir serta merasmikan Dewan Al-Imam Al-Tayeb Sheikhul Azhar, sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah dan Makkah bagi menunaikan ibadah Umrah.
Semasa berada di Madinah, Tun Musa turut berkesempatan mengadakan pertemuan dengan para pelajar Sabah yang sedang menuntut di sana sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah.
Ketibaan Tun Musa bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin di Makkah disambut dengan penuh mesra oleh Duta Besar Malaysia ke Kerajaan Arab Saudi, Dato’ Mohamad Syed Bakri Syed Abdul Rahman, bersama isterinya. Duta Besar dan isteri turut menyertai Tun dan rombongan dalam menunaikan ibadah Umrah.
Turut hadir ialah Hassan Ibrahim Abdullah, Pegawai Komunikasi, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.


























