Hajiji bersalaman dengan masyarakat Islam yang menghadiri Majlis Ihya Ramadan – Malam Mencari Kekasih di Dewan Masyarakat Tawau, malam ini.
TAWAU: Kerajaan Negeri merancang untuk membangunkan sebuah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) berkonsepkan kecerdasan buatan (AI) di kawasan berhampiran Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung sebagai langkah strategik memperkasa pendidikan Islam yang seimbang antara kekuatan rohani, ilmu pengetahuan dan kemajuan teknologi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, perancangan itu melibatkan baki tanah seluas 20 ekar di kawasan SAN Apas Balung dan akan diselaraskan melalui kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Menurut beliau, komitmen tersebut mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyokong usaha pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama secara berterusan.
“Kerajaan Negeri akan terus komited menyokong usaha pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama melalui kerjasama pelbagai pihak,” katanya ketika merasmikan Majlis Ihya Ramadan – Malam Mencari Kekasih di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, malam ini.
Hajiji menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negeri tidak boleh diukur semata-mata melalui pembangunan fizikal atau pencapaian ekonomi, sebaliknya perlu berpaksikan akhlak rakyat, kekuatan iman serta kesuburan ilmu yang berteraskan nilai agama.
Beliau berkata, pembangunan pendidikan Islam bukan sekadar penyediaan infrastruktur, malah merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembinaan modal insan yang seimbang dari segi rohani, intelek dan sahsiah.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri memberi perhatian serius terhadap pembangunan SAN sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing, selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama kemajuan negeri.
Pada sebelah pagi, beliau turut melawat dan merasmikan SAN Apas Balung yang mencatat sejarah sebagai SAN pertama di Malaysia di bawah kelolaan JHEAINS yang memperkenalkan pendekatan pembelajaran berasaskan AI.
Katanya, inisiatif tersebut diperkukuh dengan pemasangan kemudahan papan putih pintar (Smart White Board) di bilik darjah bagi menyokong kaedah pengajaran yang lebih interaktif, dinamik dan selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan berkenaan membuktikan pendidikan agama tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi, malah mampu bergerak seiring inovasi semasa tanpa mengorbankan nilai adab, akhlak dan jati diri Islam.
“Di sinilah anak-anak kita bukan sahaja diasuh dengan ilmu agama dan al-Quran, malah turut dipersiapkan dengan kemahiran teknologi serta pemikiran kritis bagi menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Hajiji berkata, pembangunan negeri yang mampan perlu berpaksikan keseimbangan antara kemajuan material dan kekuatan rohani bagi menjamin kestabilan sosial, keharmonian masyarakat serta kemajuan Sabah secara menyeluruh.
Pada masa sama, beliau mengajak umat Islam menjadikan bulan Ramadan yang bakal menjelma sebagai medan muhasabah diri dan titik perubahan untuk meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT.


























