Masidi (tengah) bersama barisan individu yang dilantik selepas selesai upacara penyampaian watikah pelantikan.
KUNDASANG: Kestabilan politik di Sabah menjadi asas penting kepada pembangunan ekonomi, keyakinan pelabur serta kesejahteraan rakyat, kata Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) merangkap Ketua Bahagian N.37 Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata, kestabilan politik bukan sekadar satu kenyataan, sebaliknya merupakan prasyarat utama bagi memastikan usaha menarik pelaburan, membuka peluang pekerjaan dan melaksanakan pembangunan mampan dapat dijayakan secara berkesan di seluruh negeri.
“Kita bersyukur kerana dengan izin Allah SWT, Sabah hari ini berada dalam keadaan politik yang stabil. Kestabilan ini adalah asas penting kepada pembangunan ekonomi, keyakinan pelabur dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Kesyukuran dan Makan Malam Gagasan Rakyat N.37 Karanaan bersama N.36 Kundasang dan N.38 Paginatan di Hotel Perkasa Kundasang, di sini, semalam.
Masidi yang juga Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, kemenangan GRS dalam pilihan raya lalu telah memberikan mandat kepada gabungan itu untuk membentuk Kerajaan Negeri, namun mandat berkenaan bukan untuk diraikan semata-mata.
“Kemenangan ini menuntut kita semua bekerja dengan lebih cekap, lebih efisien dan berintegriti. Setiap keputusan dan tindakan mesti dilaksanakan dengan tujuan utama memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin,” katanya.
Masidi turut mengingatkan seluruh ahli Gagasan Rakyat dan GRS bahawa amanah yang dipegang bukan sekadar jawatan atau lantikan, sebaliknya satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.
“Lantikan bukan untuk meraih penghargaan atau pujian, tetapi sebagai peluang untuk memberi sumbangan nyata kepada masyarakat. Setiap langkah dan keputusan harus berpandukan kepentingan rakyat dan kemajuan negeri,” tegasnya.
Sebagai wakil rakyat, ADUN Karanaan itu berkata, komitmennya adalah untuk memastikan suara rakyat sentiasa didengari dan keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya.
“Saya akan terus berusaha memperkukuh pembangunan infrastruktur, meningkatkan kualiti pendidikan, menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik serta menyokong program-program yang dapat meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah,” katanya.
Masidi turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi yang sekali lagi memberikan kepercayaan kepadanya untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat, sambil menegaskan tanggungjawab tersebut akan dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi.
“Sokongan ini bukan sahaja menguatkan semangat saya, malah mengingatkan bahawa amanah yang digalas adalah besar dan mesti dijalankan dengan penuh dedikasi,” katanya.
Masidi menyeru semua pihak untuk terus bersatu padu demi memastikan Sabah terus maju, rakyat sejahtera dan kerajaan berfungsi dengan cekap.
“Marilah kita bersama-sama memastikan Sabah terus maju, rakyat sejahtera dan masa depan negeri ini lebih gemilang,” katanya.






























