James bersama kakitangan IPG Kampus Tawau.
TAWAU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib mengadakan lawatan kerja ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau hari ini bagi meninjau keperluan kemudahan serta perkembangan latihan perguruan di kampus berkenaan.
Dalam lawatan tersebut, beliau dimaklumkan beberapa keperluan utama yang dibangkitkan oleh pengurusan IPG Tawau, khususnya berkaitan aspek keselamatan, kemudahan pembelajaran serta infrastruktur sokongan.
James memaklumkan bahawa beliau akan memohon peruntukan daripada Kerajaan Negeri melalui Kabinet Negeri, selain Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bagi tujuan penyelenggaraan pagar kampus yang telah usang. Usaha ini penting bagi memastikan persekitaran kampus yang lebih selamat dan kondusif untuk warga IPG.
Selain itu, beliau berkata, kementerian turut melihat keperluan pembekalan papan pintar (smart board) di IPG Kampus Tawau bagi menyokong kaedah latihan dan pembelajaran bakal guru.
Katanya, inisiatif ini selaras dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa pendigitalan pendidikan serta memastikan bakal pendidik terdedah kepada penggunaan teknologi terkini dalam pedagogi.
Pihak kementerian turut meneliti aduan berkaitan liputan internet dan telekomunikasi di sekitar kawasan kampus.
James berkata, perkara ini akan dibawa kepada perhatian pihak berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengatasi masalah kekurangan capaian internet, seterusnya melancarkan kaedah pembelajaran berasaskan teknologi.
Pada masa sama, pengurusan IPG Kampus Tawau turut menyuarakan permohonan kemudahan bas baharu bagi menggantikan bas sedia ada yang telah usang, demi keselesaan dan kelancaran pergerakan pelatih serta warga kampus.
James menegaskan bahawa kementeriannya komited untuk terus bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memperkukuh kemudahan latihan perguruan serta menyokong pembangunan pendidikan berkualiti di negeri ini.


























