Jamawi (dua dari kanan) mendengar penjelasan daripada pemimpin gereja ketika melawat tapak gereja Kalvari Karismatik.
TENOM: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan berusaha mempercepatkan proses pampasan dan rundingan harga melibatkan Gereja Kalvari Karismatik Tenom yang terjejas akibat pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan Tenom.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, perkara itu akan diberi perhatian serius bagi memastikan kebajikan pengurusan gereja serta penganutnya terus terpelihara.
“Saya telah melawat kawasan Gereja Kalvari Karismatik Tenom yang terletak di jajaran benteng projek tebatan banjir yang sedang dan akan dibina oleh kontraktor di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut beliau, pihak pengurusan gereja memaklumkan setakat ini mereka masih belum menerima sebarang pampasan berhubung pelaksanaan projek berkenaan.
“Pengurusan gereja meminta supaya proses pampasan dan rundingan harga dapat dipercepatkan serta ditawarkan pada kadar yang lebih munasabah dan bersesuaian dengan nilai semasa,” katanya.
Jamawi berkata, berdasarkan maklumat diterima, jurunilai kerajaan telah pun menjalankan penilaian ke atas kawasan terlibat, namun pihak gereja berpandangan nilai yang ditawarkan masih tidak mencukupi.
“Sehubungan itu, pihak gereja telah melantik jurunilai swasta dan saya berharap laporan penilaian tersebut dapat diserahkan dengan segera supaya rundingan harga dapat dimuktamadkan sebaik mungkin,” katanya.

Jamawi (duduk, enam dari kiri) bergambar kenangan dengan ahli gereja Kalvari Karismatik Tenom.
Beliau menjelaskan, pemuktamadan rundingan pampasan amat penting bagi membolehkan pihak gereja merancang pemindahan serta mendapatkan tapak baharu untuk pembinaan rumah ibadat di lokasi lain.
“Saya ingin memudahkan urusan mereka supaya pengurusan gereja dapat mencari tapak yang sesuai dan membina kemudahan rumah ibadat yang baharu,” katanya.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan Gereja Kalvari Karismatik Tenom atas kerjasama yang diberikan sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.
“Bagi pihak saya, saya akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan mereka turut mendapat kemudahan rumah ibadat yang lebih sempurna pada masa akan datang,” katanya.
Mengulas kemungkinan untuk mengekalkan tapak sedia ada, beliau berkata, kawasan tanah berkenaan telah diwartakan pada tahun 2022 bagi tujuan projek tebatan banjir.
“Saya dimaklumkan oleh pihak JPS dan juga pihak gereja sendiri bahawa tanah ini telah diwartakan. Jika mahu mengubah semula pewartaan, prosesnya adalah panjang dan perlu dibawa ke Dewan Undangan Negeri serta melibatkan beberapa prosedur lain,” katanya.
Menurutnya, proses tersebut berisiko mengambil masa yang lama dan pihak gereja juga tidak mahu menanggung ketidaktentuan berpanjangan.
“Oleh itu, permintaan utama mereka adalah supaya kadar pampasan yang ditawarkan adalah berpatutan dan selaras dengan nilai semasa bagi membolehkan mereka mendapatkan bangunan baharu,” katanya.
Jamawi menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan pelaksanaan projek pembangunan awam tidak menjejaskan keharmonian masyarakat serta hak mana-mana pihak.
“Kita mahu pembangunan berjalan lancar, dalam masa sama kebajikan rakyat dan institusi keagamaan terus dibela,” katanya.
Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Melalap, Denesly Justin dan beberapa lagi kepimpinan gereja.






























