Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles
KOTA KINABALU: Ketegasan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang mengingatkan penjawat awam supaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan berkesan disifatkan sebagai langkah tepat bagi memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan pentadbiran negeri.
Pendirian itu disuarakan Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles, yang menyatakan sokongan penuh terhadap saranan Ketua Menteri berkenaan, khususnya dalam memperkukuh kecekapan, integriti dan profesionalisme perkhidmatan awam di Sabah.
Beliau berkata, saranan itu amat bertepatan dengan keperluan semasa ketika perkhidmatan awam berdepan cabaran era teknologi yang semakin pesat, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), yang menuntut tahap kecekapan, keupayaan adaptasi serta integriti lebih tinggi dalam setiap lapisan pentadbiran.
“Penjawat awam, tanpa mengira kedudukan dan lokasi perkhidmatan, perlu memahami dasar kerajaan negeri dengan jelas serta melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh tulus, ikhlas dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas ucapan Ketua Menteri semasa Majlis Amanat kepada Perkhidmatan Awam Di Negeri Sabah dan Pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Jumaat lalu.
Yazid berkata, pendekatan Hajiji yang melihat penjawat awam sebagai rakan strategik kerajaan dan bukan sekadar pelaksana arahan adalah langkah penting bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efektif, efisien serta berorientasikan rakyat.
Menurutnya, kerjasama erat antara kepimpinan politik dan jentera pentadbiran merupakan asas kepada kejayaan pelaksanaan dasar serta agenda pembangunan negeri, khususnya dalam memastikan setiap keputusan kerajaan dapat diterjemahkan dengan berkesan di peringkat akar umbi.
Tambah beliau, penekanan Ketua Menteri terhadap aspek disiplin, integriti dan profesionalisme wajar disambut secara positif oleh seluruh penjawat awam negeri, termasuk badan-badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh tadbir urus melalui pelaksanaan pensijilan sistem pengurusan kualiti dan pensijilan anti-rasuah membuktikan kesungguhan kepimpinan negeri dalam membina pentadbiran yang telus, berakauntabiliti dan diyakini rakyat,” katanya.






























