KOTA KINABALU: Semakan semula tarif elektrik akan dilaksanakan secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil, berkualiti dan mampan, di samping terus mengambil kira kesejahteraan pengguna.
Sabah Electricity Sdn. Bhd. dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelaksanaan semakan tarif ini akan bermula pada 1 Februari 2026 di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation – IBR) bagi menampung kos pembekalan elektrik, selaras dengan peruntukan Seksyen 39, Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Menurutnya, semakan tarif ini dibuat susulan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan sistem, keperluan pelaburan infrastruktur serta selaras dengan dasar Kerajaan mengenai pengurangan subsidi secara berperingkat.
“Langkah ini penting bagi menjamin kelangsungan dan kemampanan syarikat utiliti agar sistem pembekalan elektrik kekal berdaya tahan serta mampu memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.
“Perubahan kadar tarif elektrik melibatkan semakan struktur dan kadar tarif baharu bagi pengguna Sabah Electricity, di mana kadar purata tarif asas 34.52 sen/kWj diselaraskan kepada 39.70 sen/kWj,” kata kenyataan itu.
Menurut Sabah Electricity, bagi tempoh kawal selia kedua (Regulatory Period 2 – RP2), kadar purata kos pembekalan elektrik atau tarif sebenar yang diperlukan ialah 45.08 sen/kWj berbanding kadar tarif yang diluluskan sebanyak 39.70 sen/kWj.
Kerajaan Persekutuan kekal komited untuk menyalurkan bantuan subsidi bagi menampung jurang perbezaan tersebut, dengan jumlah subsidi bagi tempoh dua tahun (2026–2027) dianggarkan sebanyak RM849 juta.
“Pengguna elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menikmati kadar tarif sedia ada sejak 2014. Walaupun kos pembekalan elektrik terus meningkat sejak semakan terakhir dilaksanakan, kadar tarif tidak diselaraskan, sekali gus menyebabkan kebergantungan yang tinggi terhadap subsidi Kerajaan.”
Dalam pada itu, semakan tarif ini turut mengambil kira kepentingan pengguna domestik, peniaga kecil serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Sebanyak 85 peratus pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 600 kWj sebulan, melibatkan amaun bil semasa antara RM5 hingga RM206, hanya mengalami kenaikan minimum sehingga RM27.
Sabah Electricity memaklumkan, bagi pengguna domestik miskin tegar, rebat e-Kasih sehingga maksimum RM40 sebulan akan terus diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.
Sementara itu, bagi pengguna komersial kecil, blok penggunaan elektrik yang dilindungi dilanjutkan sehingga 500 kWj sebulan melibatkan amaun bil semasa antara RM15 hingga RM199. Lebih separuh pengguna komersial berada dalam kategori ini dan hanya mengalami kenaikan minimum antara RM4 hingga RM24, termasuk kedai runcit dan perniagaan kecil.
“Diskaun Off-Peak Tariff Rider (OPTR) sebanyak 20 peratus bagi penggunaan waktu bukan puncak turut diteruskan kepada pengguna komersial dan industri voltan rendah bagi mengurangkan beban kos peniaga kecil.
“Sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan sosial dan pembangunan komuniti, diskaun 10 peratus kepada rumah kebajikan, rumah ibadat dan institusi pendidikan berdaftar (Welfare, Worship & Education) diteruskan sepanjang tempoh pelaksanaan semakan tarif.”
Kerajaan Negeri juga memperkenalkan diskaun baharu sebanyak 10 peratus kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan (Agriculture, Aquaculture & Aquamarine – AAA) bagi menyokong keterjaminan makanan serta kestabilan rantaian bekalan.
Melalui semakan tarif ini, pelaburan dapat diteruskan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf rangkaian elektrik, sekali gus mengurangkan gangguan bekalan serta menyokong pembangunan infrastruktur baharu termasuk sistem grid yang lebih kukuh dan mampan.
“Langkah ini penting bagi memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil dan boleh dipercayai untuk kegunaan rakyat serta sektor perniagaan, kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Sabah Electricity menggalakkan pengguna menggunakan tenaga secara lebih cekap dan berhemah serta menyertai program berkaitan tenaga yang dikendalikan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) bersama Sabah Electricity bagi mengurangkan impak kenaikan bil dan menyokong penggunaan tenaga boleh baharu. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang ECoS di https://ecos.gov.my.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai jadual tarif melalui laman sesawang Sabah Electricity di www.sesb.com.my serta membuat anggaran kos bil elektrik bulanan menggunakan Kalkulator Bil Elektrik yang boleh diakses mulai 1 Februari 2026.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, pengguna digalakkan menghubungi Sabah Electricity di talian 15444, 088-515000 atau melalui aplikasi Sabah Electricity.


























