Jamawi (duduk, empat dari kiri) bergambar bersama penerima bantuan pendidikan dan ibu bapa yang hadir dalam majlis penyerahan itu.
TENOM: Seramai 19 pelajar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang menerima tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi bagi pengambilan Januari menerima bantuan pendidikan dalam satu majlis penyampaian di Pusat Khidmat ADUN Melalap, di sini, hari ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, bantuan tersebut melibatkan pelajar yang akan melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah, sebagai kesinambungan program bantuan pendidikan yang telah lama dilaksanakan di kawasan berkenaan.
“Pada fasa satu ini, seramai 19 pelajar menerima bantuan dan saya berharap ia dapat meringankan sedikit beban ibu bapa serta membantu perbelanjaan awal anak-anak kita apabila melanjutkan pengajian ke universiti kelak,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Jamawi berkata, bantuan berkenaan bukan sahaja bertujuan membantu pelajar dari segi kewangan, malah sebagai galakan kepada golongan muda di Melalap untuk terus menuntut ilmu dan mencapai kecemerlangan akademik.

Jamawi (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan Pendidikan DUN Melalap kepada Farah Hanim mewakili kakaknya yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah.
Beliau turut menyampaikan salam daripada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan untuk pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, antara bantuan yang disediakan ialah bantuan kewangan secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM2,000 kepada pelajar ijazah dan RM1,500 kepada pelajar diploma.
“Selain itu, pelajar daripada golongan B40 juga boleh memohon bantuan komputer, manakala pelajar yang mengikuti pengajian di kampus di bawah Kerajaan turut layak menerima bantuan tiket penerbangan sebanyak RM600 setahun,” katanya.
Jamawi menegaskan bahawa peluang dan kemudahan bantuan pendidikan yang disediakan Kerajaan perlu dimaklumkan secara meluas kepada masyarakat, memandangkan masih terdapat pelajar dan ibu bapa yang tidak mengetahui kewujudan bantuan tersebut.

Jamawi merasmikan Tenom Champions League JJCUP 2025/2026.
Sehubungan itu, beliau menyeru pimpinan masyarakat di peringkat kampung termasuk Ketua Kampung, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ketua Anak Negeri dan Wakil Ketua Anak Negeri agar memainkan peranan menyebarluaskan maklumat berkenaan kepada penduduk setempat.
Dalam program berasingan, Jamawi merasmikan Tenom Champions League JJCup 2025/ 2026 diiringi Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Denesly Justin; Pegawai Eksekutif Daerah Tenom, Mumin Amsah serta beberapa lagi pemimpin setempat DUN Melalap.






























