PAPAR: Kerja-kerja penyambungan silang (inter-connection) antara rangkaian paip dari tangki utama P1 Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon ke rangkaian paip tangki utama P3 di Kawang sedang giat dilaksanakan sebagai langkah mitigasi segera bagi menangani gangguan serius bekalan air di Mukim Kinarut dan Kawang.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar, ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim serta Pegawai Daerah Papar telah meninjau status kemajuan kerja berkenaan pada petang ini, selain menerima taklimat daripada Jurutera Air Papar dan pihak kontraktor.
Menurutnya, pelaksanaan penyambungan silang paip P1 terus ke P3 itu adalah susulan keputusan mesyuarat khas yang membincangkan isu gangguan serius bekalan air di Mukim Kinarut dan Kawang, yang telah dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri pada 8 Januari 2026.
“Penyambungan silang ini merupakan antara langkah mitigasi serta-merta yang diambil untuk menangani isu gangguan bekalan air serius yang berlaku sejak penghujung Disember 2025,” katanya dalam perkongsian di laman Facebook beliau.
Armizan menjelaskan, Projek Naik Taraf LRA Kogopon yang melibatkan penambahan kapasiti sebanyak 40 juta liter sehari (JLH) atau dikenali sebagai Kogopon 2 telah bermula pada Ogos 2023 dan dijadualkan siap dalam tempoh tiga tahun, iaitu pada Ogos 2026.
Sehubungan itu, katanya, mengambil kira projek berkenaan masih dalam pelaksanaan dan gangguan bekalan air yang semakin serius di Mukim Kinarut dan Kawang, mesyuarat pada 8 Januari lalu memutuskan supaya kapasiti rawatan air di LRA Kogopon sedia ada yang berkapasiti 40 JLH ditingkatkan serta-merta secara sementara sebanyak 10 peratus, iaitu antara 3.5 hingga 4 JLH.
“Kapasiti tambahan ini akan disalurkan terus dari P1 ke P3 sebagai bekalan tambahan untuk menampung keperluan kritikal di Mukim Kinarut dan Kawang,” katanya.
Beliau berkata, penyambungan silang berkenaan turut membolehkan jarak pembekalan air dari P1 di LRA Kogopon ke P3 di Mukim Kinarut dan Kawang dipendekkan daripada 33 kilometer kepada hanya 10.3 kilometer.
Menurut Armizan, bagi melaksanakan langkah mitigasi peningkatan kapasiti rawatan air sebanyak 10 peratus itu, beberapa kerja utama perlu dilaksanakan, antaranya penyambungan silang rangkaian paip sedia ada dari P1 ke P3 di dua kawasan, penggantian injap (valve) di bahagian pengambilan LRA Kogopon sedia ada serta penggantian pam air di loji berkenaan.
“Kerja-kerja di lapangan telah bermula pada 9 Januari 2026, iaitu sehari selepas mesyuarat berkenaan, dan dilaksanakan secara berterusan 24 jam sehari kecuali ketika hujan lebat,” katanya.
Tambah beliau, keseluruhan proses kerja disasarkan siap pada 24 Januari 2026.
Bagaimanapun, katanya, proses penggantian injap akan memerlukan penutupan sementara loji bagi tempoh kira-kira 10 jam bermula lewat malam pada 20 Januari 2026, tertakluk kepada keadaan cuaca semasa.
“Kita mengharapkan dengan adanya langkah mitigasi serta-merta ini, gangguan bekalan air serius di Mukim Kinarut dan Kawang dapat ditangani, sekali gus menyelesaikan isu catuan yang telah berlarutan sejak sekian lama, sementara menunggu penyelesaian jangka panjang melalui siapnya LRA Kogopon 2 pada suku keempat 2026,” katanya.
Armizan turut memaklumkan bahawa proses penutupan sementara loji berkenaan dijangka memberi kesan kepada beberapa kawasan dalam daerah Papar dan perkara itu akan dimaklumkan secara rasmi oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dalam masa terdekat.
“Kita ikhtiarkan sehabis baik untuk menghentikan kesusahan yang telah lama dihadapi oleh penduduk setempat,” katanya.






























