Mohd Bahrin (kanan) dan Aksyah
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas tampil mempertahankan pelantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yakub sebagai Pengerusi baharu Sabah Development Berhad (SDB), sambil menggesa semua pihak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Mohd. Bahrin Abdul Karim berkata, pihaknya mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan oleh DAPSY Sabah, parti-parti pembangkang serta sebahagian orang awam berhubung pelantikan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, walaupun Dr. Yusof kini berdepan pertuduhan berkaitan kes rasuah melibatkan dakwaan suapan berhubung lesen carigali mineral di Sabah, perkara itu masih berada dalam proses perundangan dan belum diputuskan oleh mahkamah.
Menurutnya, Dr. Yusof yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin serta bekas ADUN Sindumin selama dua penggal, telah menafikan sebarang salah laku, memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengaku tidak bersalah di mahkamah.
“Gagasan Rakyat Bahagian Likas menyokong pelantikan yang dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor selaras dengan prinsip asas kedaulatan undang-undang iaitu seseorang individu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Bahrin menegaskan bahawa kewujudan kes mahkamah yang masih berjalan tidak boleh dianggap sebagai satu sabitan kesalahan dan juga tidak secara automatik melucutkan kelayakan seseorang individu untuk memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau berkata, pelantikan itu mencerminkan pendirian Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menolak sebarang cubaan mempolitikkan proses pelantikan atau membentuk persepsi awam seolah-olah individu terbabit telah bersalah sebelum keputusan muktamad mahkamah dibuat.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak adil, malah berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara serta tadbir urus institusi awam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa sayap pemuda DAPSY Sabah agar tidak bertindak dengan pendekatan bermotifkan kepentingan politik semata-mata, sebaliknya menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
Sementara itu, aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah turut menggesa pembangkang supaya menghentikan tindakan mempolitikkan isu lantikan Pengerusi SDB selagi tiada sebarang keputusan mahkamah yang mensabitkan Dr. Yusof dengan kesalahan jenayah.
Menurut Aksyah, kritikan berterusan pembangkang terhadap lantikan tersebut adalah tidak relevan dari sudut perundangan dan bersifat pramatang.
“Dalam negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, prinsip asas yang perlu dihormati ialah seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Selagi tiada sabitan dan hukuman, adalah tidak wajar pembangkang menghukum beliau lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangkang seharusnya bersikap lebih terbuka apabila isu melibatkan pemimpin GRS, khususnya dalam pelantikan ke jawatan strategik Kerajaan dan GLC.
Aksyah juga merujuk kepada rekod prestasi Dr. Yusof ketika menerajui Qhazanah Sabah yang menurutnya membuktikan keupayaan kepimpinan serta tahap integriti yang baik.
“Sepanjang beliau menjadi Pengerusi Qhazanah, tiada isu pecah amanah atau salah guna kuasa yang menjejaskan operasi syarikat itu. Malah, Qhazanah masih beroperasi dengan baik sehingga hari ini,” katanya.
Beliau menyifatkan tuduhan pembangkang sebagai tidak berasas dan cacat dari segi logik, memandangkan Dr. Yusof sendiri telah mengaku tidak bersalah pada hari pertama perbicaraan.
“Adalah terlalu awal untuk menghukum beliau sedangkan kerusi Pengerusi SDB yang didudukinya masih belum ‘panas’. Pelantikan ini tidak wajar dianggap satu kesilapan, apatah lagi berdasarkan rekod perkhidmatan beliau sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Aksyah mengingatkan pembangkang supaya memainkan peranan sebenar sebagai ejen semak dan imbang, bukannya menolak setiap keputusan yang dibuat oleh Ketua Menteri.
“Peranan pembangkang ialah memberi kritikan membina dan saranan berfokus kepada kepentingan rakyat, khususnya jika ada dasar yang tidak pro-rakyat atau gagal dilaksanakan seperti digariskan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0),” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan GRS Plus masih berada pada fasa awal pentadbiran, memandangkan Januari 2026 menandakan tahun pertama kerajaan itu memerintah.
Aksyah juga membangkitkan isu ‘double standard’ pembangkang dengan merujuk kes rasuah berjumlah RM1.5 bilion yang pernah dihadapi bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang menurutnya tidak menjejaskan pelantikan beliau ketika kes tersebut masih berjalan.
Menurutnya, polemik lantikan Pengerusi SDB ini memperlihatkan sikap tidak konsisten pembangkang dan lebih menjurus kepada langkah populis.
“Berilah peluang kepada Dr. Yusof untuk membuktikan keupayaannya sebagai Pengerusi SDB. Apa yang rakyat Sabah harapkan ialah prestasi, sumbangan dan hasil yang memberi manfaat kepada negeri, bukannya polemik politik yang tidak berkesudahan,” katanya.






























