Hajiji (tengah) bersama Ahli-ahli Parlimen Sabah di Sri Gaya, malam tadi.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen (AP) Sabah di Sri Gaya, di sini, malam tadi bagi membincangkan isu-isu semasa.
Hajiji berkata, beliau telah mengambil maklum pandangan, maklum balas serta cadangan yang dikemukakan berkaitan perkara yang memberi kesan kepada rakyat di peringkat akar umbi, melibatkan bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Kami juga membincangkan hal-hal pentadbiran yang berkaitan dengan pihak berkuasa daerah dan tempatan,” katanya.
Antara Ahli Parlimen yang hadir ialah Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar), yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup; Datuk Ir. Shahelmey Yahya (Putatan); Datuk Matbali Musah (Sipitang); Lo Su Fui (Tawau), yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Jonathan Yasin (Ranau); dan Riduan Rubin (Tenom).






























