Mustapha Sakmud
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keprihatinan serius terhadap pematuhan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan meletakkan perkara itu sebagai keutamaan utama dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025 itu menetapkan dua garis masa pelaksanaan, iaitu tempoh 90 hari bagi semakan kadar Pemberian Khas Sabah serta tempoh 180 hari untuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah mencapai persetujuan serta melaksanakan mekanisme pembayaran.
Menurut beliau, tempoh 90 hari berkenaan telah berakhir hari ini, 14 Januari 2026.
“Bagi tempoh tersebut, satu mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah telah diadakan pada 17 November 2025 sebagai sebahagian daripada proses semakan awal serta perbincangan mengenai kerangka, parameter dan perkara asas berkaitan pelaksanaan keputusan mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapha berkata, Kerajaan komited memastikan proses semakan dan rundingan dilaksanakan mengikut garis masa yang telah ditetapkan oleh mahkamah.
Beliau menegaskan, Perdana Menteri sendiri telah memberikan perhatian serius terhadap perkara ini, sekali gus membuktikan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menghormati keputusan mahkamah dan memenuhi tuntutan sah Sabah.
“Isu ini bukan sahaja menyentuh hak Sabah, malah melibatkan kepentingan rakyat serta kedaulatan undang-undang negara,” katanya.
Sehubungan itu, Mustapha yang bertanggungjawab terhadap perkara berkenaan memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor kelmarin.
Menurutnya, pertemuan tersebut bertujuan memperteguh tekad semua pihak untuk menyegerakan keseluruhan proses semakan mengikut garis masa yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi.
“Saya telah menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menjunjung kedaulatan undang-undang serta memastikan keputusan mahkamah ini dilaksanakan demi kepentingan rakyat Sabah dan negara keseluruhannya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah adalah kunci utama dalam memastikan tuntutan 40 peratus hasil Sabah dapat direalisasikan secara berkesan dan berintegriti.
Mustapha berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada proses perbincangan yang sedang berjalan bagi membolehkan penyelesaian menyeluruh dicapai dalam tempoh 180 hari seperti yang diarahkan oleh mahkamah.
“Kerajaan akan terus memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa supaya rakyat Sabah dapat mengikuti proses ini secara telus,” katanya.
































