Shahelmey (tengah) dan Shah Alfie ketika melakukan tinjauan di kawasan perumahan Taman Jumbo, Putatan.
PUTATAN: Kerjasama antara pihak pemerintah dengan agensi kerajaan serta masyarakat awam dilihat menjadi ramuan terbaik bagi meningkatkan tahap keselesaan para penduduk di daerah ini.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, dengan adanya kerjasama tersebut, tahap penguatkuasaan dan penyampaian pentadbiran kerajaan pada hari ini mampu dijalankan sebaik mungkin dalam memastikan keadaan semasa terutama persekitaran penduduk terus selamat serta selesa diduduki.
“Sehubungan itu, hubungan holistik di antara orang ramai dan pihak pelaksana tanggungjawab amat penting bagi memastikan keterjaminan para penduduk yang menghuni di daerah Putatan.
“Malah saya turut meminta semua pihak berkenaan berganding bahu untuk memberikan perkhidmatan yang baik dari semasa ke semasa dan tidak menunggu sekiranya ada aduan semata-mata,” katanya selepas mengadakan program walkabout di sekitar perumahan Taman Jumbo dan Taman Frienship di sini, hari ini.
Hadir sama adalah ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya; Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh; dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar.
Program tersebut turut disertai kakitangan dan rombongan daripada Majlis Daerah Putatan (MDPTN), Pejabat Parlimen P173 Putatan, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Keramat serta Pejabat ADUN N24 Tanjung Keramat.
Selain itu, mengulas mengenai program tersebut, Shahelmey berkata ianya langkah efisyen bagi melihat dan turun padang untuk meneliti permasalahan sedia ada di kawasan perumahan yang berkenaan.
“Saya menerima maklum bahawa isu-isu di sini melibatkan masalah perparitan, jalan raya, kawasan sampah dan penyelengaraan pemotongan pokok.
“Ada sesetengah kawasan perumahan, pemiliknya tidak berkerjasama untuk membenarkan pihak majlis membersihkan kawasan longkang yang mana ia telah mengundang elemen lain seperti kawasan kotor serta mengundang pembiakan nyamuk aedes,” katanya.
Jelas beliau lagi, pihaknya dalam masa sama turut meminta pihak konsensi melakukan penyelenggaraan secara berkala sementara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut melakukan pemantauan rapat untuk menangani permasalahan timbul di kawasan perumahan tersebut.
“Oleh yang demikian, saya harap pihak berkenaan turun padang secara kerap bagi menangani isu-isu perumahan ini.
“Kita juga meminta para penduduk dan masyarakat awam supaya menjadi mata dan telinga agar penyelesaian masalah dapat dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.
































