KOTA BELUD: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) telah merasmikan Kilang Padi dan Beras Tempatan MEKAR by SLDB di Kampung Timbang Dayang, di sini, sebagai inisiatif strategik memperkukuh rantaian nilai industri padi dan beras serta menyokong jaminan keselamatan makanan negeri.
Pengurus Besar SLDB, Datuk Syaheddrul R. Joddari berkata, setakat ini kira-kira 540 ekar kawasan sawah padi terbiar telah berjaya diusahakan semula dan dengan pengoperasian kilang berkenaan, SLDB menyasarkan peluasan pemulihan sehingga 1,000 ekar di daerah Tuaran dan Kota Belud.
“Inisiatif ini melengkapkan rantaian pengeluaran dan pemprosesan padi, sekali gus meningkatkan kecekapan, pendapatan pesawah serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan beras luar,” katanya.
Beliau berkata, kilang itu memproses hasil tuaian Projek Padi SLDB di Tuaran, Papar dan Kota Belud melibatkan keluasan tanaman kira-kira 540 ekar dengan penyertaan 238 peserta, yang dijangka menghasilkan sekitar 1,100 tan metrik padi bagi setiap musim.
Selain itu, kilang berkenaan turut membeli hasil tuaian pesawah sekitar Kota Belud untuk diproses dan dipasarkan sebagai beras tempatan di bawah jenama MEKAR by SLDB, sekali gus menyumbang kepada kestabilan bekalan beras negeri.
Majlis perasmian diserikan dengan lawatan ke fasiliti pemprosesan dan sesi taklimat operasi yang mempamerkan sistem pemprosesan terkini dengan kapasiti sehingga 15 tan padi sehari.
Pengoperasian Kilang Padi dan Beras Tempatan MEKAR by SLDB ini mencerminkan komitmen berterusan SLDB dalam memacu pembangunan sosioekonomi luar bandar melalui pertanian mampan, berdaya saing dan berimpak tinggi.


























