Yubidi Gompoyo
RANAU: Orang ramai dijemput memeriahkan Rumah Terbuka Krismas 2025 dan Tahun Baharu 2026 di Dewan Masyarakat Ranau pada Ahad ini (18 Jan), bermula jam 11 pagi hingga 2 petang.
Program anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) N.36 Kundasang dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Ranau itu akan dihoskan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga Pemangku Presiden PBS.
Timbalan Ketua Bahagian PBS N.36 Kundasang yang juga Pengerusi Penganjur, Yubidi Gompoyo berkata, majlis berkenaan diadakan sebagai tanda kesyukuran sempena Perayaan Krismas 2025 serta sambutan kedatangan Tahun Baharu 2026, di samping mengeratkan perpaduan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di daerah Ranau.
Menurutnya, program ini mencerminkan komitmen berterusan PBS dalam memupuk semangat kebersamaan, toleransi dan saling menghormati yang menjadi asas keharmonian di Sabah.
Sehubungan itu, orang ramai tanpa mengira latar belakang dijemput hadir bagi memeriahkan majlis ini serta menyemarakkan semangat perpaduan untuk memulakan tahun baharu dengan penuh kesyukuran.


























