James (kiri) berbincang dengan Fahmi.
PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Komunikasi bagi memastikan agenda pendigitalan pendidikan dan keterangkuman digital di Sabah dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Menteri KPSTI, Datuk James Ratib menyatakan ini selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, James merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas usaha berterusan meningkatkan kesalinghubungan digital di Sabah, termasuk pelaksanaan inisiatif JENDELA Fasa 1 serta peruntukan melebihi RM2 bilion melalui Belanjawan 2026 dan inisiatif berkaitan MCMC bagi memperkukuh infrastruktur digital negeri.
Beliau menegaskan bahawa portfolio pendidikan, sains, teknologi dan inovasi di Sabah amat bergantung kepada infrastruktur komunikasi yang stabil dan berkualiti, khususnya bagi sekolah-sekolah di kawasan luar bandar, pedalaman dan pulau.
Menurutnya, cabaran geografi Sabah yang luas memerlukan pendekatan dasar yang lebih bersifat disesuaikan dan berimpak tinggi.
KPSTI Sabah turut mengambil maklum pelaksanaan JENDELA Fasa 2 yang akan memberi tumpuan kepada kawasan belum mendapat liputan, khususnya di kawasan pedalaman.
Dalam hal ini, Sabah mencadangkan agar sekolah dijadikan nod keutamaan pelaksanaan, termasuk penyambungan gentian optik terus ke premis sekolah serta peluasan penggunaan teknologi satelit bagi kawasan yang sukar dicapai dalam masa terdekat .
KPSTI juga menyatakan kesediaan untuk menjadi pemudah cara dalam urusan perolehan tanah dan kelulusan pihak berkuasa tempatan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur digital di Sabah.
Dalam perbincangan sama, James mencadangkan agar penggunaan Dana Universal Service Provision (USP) diperluaskan bukan sahaja kepada pembinaan menara dan infrastruktur luaran, tetapi turut merangkumi ekosistem pembelajaran digital di dalam sekolah.
Antaranya ialah penubuhan Digital Smart Lab di sekolah-sekolah terpilih, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, bagi menyokong pembelajaran STEM, TVET, AI asas dan keselamatan siber .
Selain aspek infrastruktur dan pendidikan digital, kedua-dua pihak turut membincangkan isu keselamatan digital melibatkan remaja, termasuk cadangan pengurangan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja di bawah usia 16 tahun.
Langkah ini dilihat penting sebagai sebahagian daripada usaha membanteras ancaman jenayah seksual dalam talian, termasuk kes pedofilia yang semakin meruncing, di samping melindungi kesejahteraan dan perkembangan sahsiah golongan muda.
KPSTI turut mencadangkan satu kerangka kerjasama rasmi melibatkan Kementerian Komunikasi, MCMC, KPSTI dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi melaksanakan pendekatan whole-of-government dalam pendigitalan pendidikan.
Model projek rintis bersama menggunakan Dana USP dicadangkan bagi membuktikan keberkesanan pelaksanaan sebelum diperluaskan ke seluruh negeri.
James menyatakan keyakinan bahawa kerjasama erat ini mampu menjadi model nasional bagi pendigitalan pendidikan di negeri bergeografi mencabar, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan demi masa depan generasi muda Sabah.




























