Jamawi (tengah) memegang Buku Pelan Strategik Hala Tuju V2050 dan bergambar kenangan dengan tetamu kehormat yang hadir dalam majlis itu.
KOTA KINABALU: Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) hari ini melancarkan Buku Pelan Strategik Hala Tuju V2050, sebagai panduan transformasi industri getah negeri ke arah moden, berdaya saing dan inklusif menjelang 2050.
Pelan ini turut menyasarkan peningkatan pendapatan pekebun kecil getah kepada RM5,000 sebulan menjelang tahun 2050.
Majlis pelancaran yang diadakan di Wisma Pertanian Sabah itu dirasmikan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar yang berkata, pelan ini membuktikan bahawa LIGS bukan sahaja bersedia menghadapi cabaran semasa industri getah, malah berani menetapkan hala tuju strategik bagi tempoh 25 tahun akan datang, selari dengan aspirasi pembangunan negeri dan hala tuju nasional.

Jamawi (tengah) menyempurnakan perasmian Buku Pelan Strategik Hala Tuju V2050 sambil disaksikan oleh tetamu yang hadir.
Beliau merakamkan tahniah dan penghargaan kepada LIGS atas kejayaan menghasilkan dokumen dasar yang komprehensif, berwawasan dan berpandangan jauh.
Beliau berkata, Pelan Strategik LIGS V2050 menyokong sepenuhnya agenda kementerian, termasuk sasaran meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah kepada RM5,000 sebulan menjelang 2050.
“Kementerian memberi tumpuan kepada empat agenda utama: meningkatkan pendapatan pekebun kecil secara mampan, memodenkan sektor pertanian melalui teknologi dan inovasi, memperkukuh keterjaminan makanan serta industri hiliran dan memastikan kelestarian alam sekitar serta pematuhan piawaian global,” kata Jamawi.
Beliau yakin momentum yang sedang dibina akan menjadikan LIGS peneraju industri getah Sabah serta institusi contoh dalam transformasi agensi kerajaan ke arah organisasi moden, progresif dan berorientasikan masa depan.
Beliau berkata, industri getah Sabah telah menjadi nadi pembangunan luar bandar sejak lebih satu abad, namun kini berdepan cabaran seperti ketidakstabilan harga, persaingan global, kekangan tenaga kerja, serta tuntutan pematuhan piawaian kelestarian di peringkat antarabangsa.
“Pelan Strategik V2050 hadir tepat pada masanya untuk mentransformasikan industri getah daripada sektor tradisional kepada industri moden, berteknologi tinggi dan bernilai tambah,” ujarnya.

Jamawi (tengah) memotong kek sempena menyambut hari ulang tahun kelahirannya pada hari ini selepas upacara perasmian selesai.
Beliau berkata, kejayaan LIGS hari ini tidak lagi terhad kepada sektor getah semata-mata, sebaliknya telah membuktikan keupayaan sebenar sebagai agensi pelaksana berwibawa melalui pembangunan ladang nanas MD2 di bawah Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat – Usahawan Tani (IPR-INTAN).
“Kejayaan projek IPR-INTAN bukan sahaja memberi pulangan ekonomi nyata kepada peserta, malah menjadi penanda aras baharu bahawa LIGS memiliki keupayaan teknikal yang kukuh, tadbir urus projek yang berdisiplin, serta kecekapan pengurusan rantaian nilai daripada ladang hingga ke pasaran. Lebih membanggakan, pencapaian ini meyakinkan Kerajaan untuk memberikan mandat baharu kepada LIGS bagi membangunkan projek tanaman padi, yang sebelum ini dianggap asing bagi sebuah agensi berasaskan getah,” katanya.
Beliau menekankan bahawa keberanian LIGS menerima amanah baharu ini membuktikan lembaga bukan sekadar mengurus komoditi, tetapi juga membina keupayaan institusi, mencerminkan keyakinan Kerajaan terhadap profesionalisme dan keupayaan pelaksanaan LIGS di lapangan.
Jamawi turut menyerlahkan pengaktifan anak syarikat LIGS, iaitu LIGS Solutions, yang memperkukuh fungsi komersial lembaga dan menjadikan LIGS sebuah organisasi hibrid, menggabungkan peranan agensi pembangunan dengan keupayaan komersial yang mampan.
“Pendekatan ini tidak meminggirkan pekebun kecil getah, malah membuka peluang baharu melalui peluasan rantaian nilai, pembangunan industri hiliran, perkhidmatan logistik dan pasaran, serta penyertaan aktif dalam ekosistem ekonomi yang lebih luas dan berdaya saing,” tambahnya.
Beliau berharap usaha ini menjadi pemangkin kepada industri getah Sabah yang maju, dinamik, dan berdaya saing menjelang 2050.
Turut hadir Pembantu Menteri I dan II Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Haji Ruslan Muharam Dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Norlijah Hj. Danin; Ketua Pegawai Penyelaras dan Pengurusan Tertinggi Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Datuk Haji (Datu) Rosmadi Datu Sulai; Pengurus Besar LIGS, Sabdil Tanjong; Pengarah Urusan LIGS Solution Sdn Bhd, Eswadi Roslan; Pengarah Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Negeri Sabah, Mohd Hamdan Sahari dan Pengarah Wilayah Sabah & Sarawak, Lembaga Getah Malaysia, Haji Ismail Ibrahim.
























