Bomba selamatkan kucing tersangkut di lubang tombol pintu. – Ihsan Bomba
BEAUFORT: Seekor kucing berwarna putih berjaya diselamatkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah selepas tersangkut pada bahagian kepala di dalam lubang tombol pintu di Kampung Batu 6, Lumadan, di sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden menyelamat kucing itu pada jam 3.10 petang melalui talian balai.
Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bersama lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.
“Jentera tiba di lokasi pada jam 3.25 petang dan mendapati seekor kucing berwarna putih tersangkut dengan bahagian kepalanya di dalam lubang tombol pintu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan bomba bertindak mengeluarkan kucing tersebut secara berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kecederaan.
“Kucing itu berjaya dikeluarkan dengan selamat dan operasi ditamatkan pada jam 3.44 petang,” katanya.
Operasi itu diketuai oleh PBK I Irwan Abdul dan melibatkan penggunaan sebuah jentera FRT serta sebuah kenderaan VIGO.
























