Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Bilangan penduduk bukan warganegara di Sabah pada 2025 menurun kepada 1,040,200 orang berbanding 1,043,600 orang pada 2024, iaitu pengurangan sebanyak 0.32 peratus berdasarkan penerbitan Statistik Migrasi Antarabangsa 2025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 24 Disember 2025.
DOSM Sabah memaklumkan, penurunan kecil tersebut mencerminkan trend penyesuaian semula struktur penduduk bukan warganegara selepas tempoh pandemik COVID-19.
“Bagi tempoh 1991 hingga 2025, Sabah merekodkan bilangan penduduk bukan warganegara tertinggi berbanding negeri-negeri lain dengan peratusan tertinggi dicatatkan pada 1991 iaitu 56.5 peratus atau 453,470 orang, manakala bilangan tertinggi direkodkan pada 2018 iaitu seramai 1,158,700 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut DOSM Sabah, pada 2025, bilangan penduduk bukan warganegara dianggarkan seramai 1,040,200 orang dan jumlah itu masih tidak melebihi paras yang dicatatkan pada 2018.

Katanya, tempoh 2020 hingga 2022 menyaksikan perubahan ketara akibat pandemik COVID-19 dengan struktur penduduk yang berbeza berbanding sebelum pandemik, di mana bilangan penduduk bukan warganegara di Malaysia dan Sabah masing-masing menurun kepada 2.56 juta orang dan 0.78 juta orang pada 2021.
“Sementara itu, Sandakan merekodkan bilangan penduduk bukan warganegara paling ramai pada 2025 iaitu 195,100 orang, diikuti Tawau seramai 142,900 orang dan Kota Kinabalu 125,400 orang,” katanya.
DOSM Sabah berkata, dari segi komposisi penduduk, Kinabatangan mencatatkan peratusan penduduk bukan warganegara tertinggi iaitu 72.9 peratus diikuti Kalabakan 69.3 peratus dan Kunak 53.4 peratus.
Mengulas Kota Kinabalu, DOSM Sabah memaklumkan, kadar pertumbuhan tahunan bandar raya itu pada 2025 meningkat kepada 2.9 peratus dengan jumlah penduduk bukan warganegara seramai 125,400 orang berbanding 16.4 peratus dengan jumlah 121,800 orang pada 2024.
“Peningkatan ini didorong oleh situasi pasca pandemik COVID-19 dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan pendidikan yang membawa kepada kemasukan tenaga kerja serta pelajar antarabangsa. Namun, jumlah pada 2025 masih lebih rendah berbanding 2018 iaitu 144,700 orang,” katanya.

DOSM Sabah berkata, anggaran penduduk semasa bukan warganegara bagi tahun 2025 disusun berdasarkan anggaran pertengahan tahun bagi tempoh Julai 2024 hingga Jun 2025 berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 menggunakan konsep de jure.
“Konsep pengukuran bilangan penduduk tidak mengambil kira daytime dan nightime population iaitu individu yang berada di sesuatu kawasan pada waktu siang atau malam tanpa menetap di kawasan tersebut. Kehadiran kumpulan ini menyumbang kepada peningkatan bilangan penduduk khususnya di kawasan bandar bagi pelbagai urusan harian,” katanya.

























