Tun Musa Aman
KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Aman menyeru seluruh rakyat Sabah agar bermuhasabah dan memperbaharui tekad sempena menyambut kedatangan Tahun Baharu sebagai peluang menilai pencapaian serta cabaran yang telah dilalui.
Dalam perutusannya, beliau berkata, permulaan tahun baharu perlu dilihat sebagai ruang untuk merangka azam dan perancangan demi mencapai tahun yang lebih baik dan bermakna.
Tun Musa turut menyeru Kerajaan Negeri supaya terus komited dalam usaha mencapai pembangunan sosioekonomi yang mampan dan inklusif demi kesejahteraan rakyat Sabah.
Menurut beliau, tumpuan perlu diberikan kepada pemerkasaan infrastruktur, penyelesaian isu-isu berlarutan yang dihadapi negeri serta peningkatan kebajikan dan kualiti hidup rakyat.
Beliau juga menegaskan keperluan Sabah untuk terus menarik pelaburan berkualiti dan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
Dalam masa yang sama, pembangunan sektor-sektor utama seperti perkilangan, pelancongan dan pertanian perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, mengukuhkan ekonomi dan menjamin kemakmuran jangka panjang negeri ini.
Tun Musa menekankan bahawa perpaduan merupakan kekuatan terbesar rakyat Sabah dan kepelbagaian agama serta etnik di negeri ini adalah satu anugerah yang wajar dihargai dan dipelihara.
Sehubungan itu, beliau menyeru golongan yang lebih bernasib baik agar menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, khususnya golongan rentan dan kurang berkemampuan dalam masyarakat.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada anggota pasukan keselamatan negara yang sanggup berjauhan daripada keluarga demi mempertahankan sempadan serta memelihara keselamatan dan kedaulatan negeri dan negara.
Menurutnya, pengorbanan serta dedikasi pasukan keselamatan amat dihargai dan akan sentiasa dikenang oleh rakyat.
Mengakhiri perutusannya, Tun Musa berharap Tahun Baharu ini membawa kemajuan, kemakmuran, keamanan dan keharmonian yang berterusan kepada Malaysia secara keseluruhan, khususnya kepada negeri Sabah.
Beliau yakin dengan usaha bersama, kebijaksanaan serta semangat perpaduan yang utuh, rakyat Sabah mampu melangkah ke hadapan menuju masa depan yang lebih cerah.
Tun Musa mengucapkan Selamat Tahun Baharu dan salam sejahtera kepada seluruh rakyat.


























