PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya mengadakan tinjauan serta menyantuni mangsa kebakaran Kampung Pasir Putih yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Putatan, di sini, hari ini. (Gambar)
Dalam lawatan itu, beliau bersama rombongan Pejabat Parlimen P.173 Putatan turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang terlibat.
Terdahulu, seramai 69 mangsa dipindahkan ke PPS berkenaan susulan kebakaran yang memusnahkan sembilan buah rumah manakala sebuah lagi mengalami kerosakan teruk dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang di Kampung Pasir Putih, Isnin lalu.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.




























