Joniston (tengah) merasmikan Karnival Krismas Inanam. Di sebelah kirinya ialah Pastor Bios.
KOTA KINABALU: Sabah mesti terus mengekalkan budaya saling menghormati yang sedia ada serta menjadi contoh toleransi beragama dan perkauman, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau berkata, insiden keganasan yang berkaitan dengan ketidak toleransian kaum dan agama yang berlaku di beberapa bahagian dunia wajar dijadikan peringatan tentang pentingnya memelihara keharmonian di peringkat tempatan.
“Apabila sesebuah masyarakat gagal mengurus perbezaan dengan penuh hormat, akibatnya boleh menjadi sangat serius.
“Sabah dan rakyatnya mesti memastikan ekstremisme agama dan kaum tidak akan berakar umbi di negeri ini,” katanya ketika merasmikan Karnival Krismas Inanam di Pekan Inanam, di sini, kelmarin.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Gereja-Gereja Inanam, Pastor Bios Solingkin serta para pemimpin daripada pelbagai denominasi Kristian.
Joniston berkata, kepelbagaian kaum dan agama di Sabah sejak sekian lama menjadi sumber kekuatan, dengan masyarakatnya sudah biasa hidup, bekerja dan meraikan perayaan bersama walaupun berbeza latar belakang.
Merujuk kepada tema karnival, ‘Saved by Grace’, beliau berkata, mesej itu mencerminkan nilai sejagat seperti belas ihsan dan kebaikan yang dikongsi merentasi kepercayaan dan budaya.
“Di Sabah, toleransi merupakan sebahagian daripada kehidupan seharian dan dapat dilihat melalui cara masyarakat berinteraksi serta meraikan perayaan antara satu sama lain.
“Keharmonian sosial ini telah menyumbang kepada kestabilan dan suasana aman di negeri ini, yang kekal sebagai antara aset terpenting Sabah,” katanya.
Joniston berkata, keharmonian tersebut, digabungkan dengan kepelbagaian budaya Sabah, turut mengukuhkan daya tarikan pelancongan negeri ini kerana pengunjung bukan sahaja tertarik dengan keindahan alam semula jadi, malah dengan masyarakatnya yang inklusif dan mesra.
Dianjurkan bersama oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Majlis Gereja-Gereja Inanam, Karnival Krismas Inanam merupakan sebahagian daripada tradisi yang telah berlangsung sejak 2015.
Sambutan dua hari itu berakhir hari ini.




























