Dr. Joachim (sembilan dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan.
KOTA KINABALU: Seramai 15,000 individu berbilang kaum hadir memeriahkan Majlis Penutupan Sambutan Perayaan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 yang berlangsung di Padang Merdeka, di sini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata sambutan yang kini memasuki tahun ke-20 itu telah berkembang menjadi lambang perpaduan, jambatan persaudaraan dan manifestasi keharmonian rakyat Sabah.
“Sabah Christmas Celebration 2025 menandakan keterbukaan semangat inklusif dan penyertaan semua lapisan masyarakat selaras dengan aspirasi kerajaan negeri Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan seimbang kesejahteraan sosial, perpaduan rakyat dan kelestarian alam.
“Kerajaan negeri akan terus memastikan perpaduan rakyat kekal utuh bagi membawa lebih banyak pembangunan,” katanya semasa Majlis Penutupan sambutan berkenaan di Padang Merdeka, pada Jumaat.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam pada Majlis Penutupan Sambutan Perayaan Krismas Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025, pada Jumaat.
Selain itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memperkukuh semangat perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan antara kaum demi menjayakan visi serta misi pembangunan yang direncanakan kerajaan negeri.
“Sabah mempunyai rakyat daripada pelbagai etnik, bahasa dan kepercayaan agama yang hidup bersama secara harmoni. Ia melambangkan perpaduan kolektif yang menekankan keharmonian, toleransi dan persefahaman antara kaum.
“Kerajaan negeri akan terus memastikan semua budaya dan perayaan kaum serta agama dihormati selari dengan semangat keharmonian dan kepelbagaian di Sabah, termasuk menyediakan peruntukan bagi meraikan kepelbagaian tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri telah merancang dan melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri termasuk tumpuan kepada aspek pendidikan serta pembangunan modal insan.


























