Jamawi memegang sayur putih organik yang terdapat dalam pameran komuniti.
TAMBUNAN: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) akan meneruskan pembangunan tanaman makanan dan penternakan menerusi pelaksanaan program berimpak tinggi yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat serta memperkukuhkan keterjaminan makanan negeri ini.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, usaha berterusan melalui Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan diyakini dapat meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Akhir Projek Pemeliharaan Hutan Kawasan Tadahan Air dan Memperkasakan Pertanian Kelestarian Kampung Kuyungon di sini, hari ini.

Jamawi melawat pameran komuniti.
Merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan dan peluang untuk bersama masyarakat setempat, Jamawi memuji pencapaian Kampung Kuyungon yang disifatkan sebagai antara kampung paling progresif di daerah Tambunan.
Antara kejayaan yang dicapai termasuk menjadi kampung pertama di Tambunan yang membangunkan Protokol Komuniti serta kampung rujukan kebudayaan rasmi untuk generasi akan datang menerusi kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia.
Selain itu, kampung berkenaan juga berjaya membangunkan rangkaian jungle trail terpanjang dan terbanyak di Tambunan, di samping mewujudkan pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) serta pembangunan Community Agribusiness.
Jamawi berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa penduduk Kampung Kuyungon telah melaksanakan konsep kebun dapur sebagai usaha menyokong kelangsungan bekalan makanan di peringkat isi rumah.
Beliau berkata, kebun dapur juga merupakan antara tiga inisiatif baharu kementerian bagi memperkasakan sektor pertanian komuniti.
“Memperkasakan Program Kebun Dapur dijangka dapat meningkatkan hasil pertanian serta penglibatan masyarakat daripada pelbagai lapisan dalam sektor pertanian ke arah merealisasikan keterjaminan makanan.
“Program itu berkonsepkan penghasilan tanaman, perikanan dan ternakan berskala kecil bergantung kepada kesesuaian kawasan serta keupayaan isi rumah, selain memberi tumpuan kepada penglibatan belia,” katanya.

Jamawi (belakang, tujuh dari kiri) dan Dr Jeffrey (belakang, empat dari kanan) bergambar kenangan dengan peserta terbaik pengamal pertanian lestari, Kampung Kuyungon.
Jamawi turut mengucapkan tahniah kepada belia Kampung Kuyungon yang memilih untuk pulang ke kampung dan membangunkan perniagaan berasaskan pertanian.
Inisiatif kedua ialah Program MentorMentee Pertanian yang dirangka oleh kementerian melalui sebagai pendekatan mengenal pasti golongan muda yang aktif dalam bidang pertanian bagi membimbing generasi seterusnya menceburi sektor itu.
Inisiatif ketiga melibatkan penglibatan usahawan industri makanan dalam ekonomi digital bagi meluaskan pasaran dan meningkatkan pendapatan pengusaha selaras dengan perkembangan semasa.
Menurutnya, pendekatan ekonomi digital juga berpotensi melahirkan lebih ramai belia berkeupayaan dalam pengeluaran serta pemprosesan makanan untuk menjana pendapatan mampan.
Jamawi juga mengumumkan bahawa Kg Kuyungon diangkat menjadi kampung contoh kepada MAFFI bagi merealisasikan hasrat ini. Sehubungan itu, Jamawi juga akan melawat ke daerah lain bagi melihat potensi kampung-kampung lain.
Jamawi berharap segala matlamat yang digariskan melalui penganjuran majlis berkenaan dapat direalisasikan dengan jayanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keningau, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan; Pegawai Daerah Tambunan, Sobitun Makajil; Ketua Daerah Tambunan dan OKK Philip Datuk Kitingan.
Selepas itu, Jamawi dengan diiringi Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong, dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) Datuk Dr. Madiyem Layapan melawat lot percubaan tanaman Padi hybrid daripada Wuhan, China di Kg Rompon, Tambunan.


























