Hajiji (tengah) bersama Wong dan Anugerah Kepimpinan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ASEAN ke-7 yang diterimanya semasa pertemuan di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor memuji pencapaian anak Sabah, Gerald Wong, penerima Anugerah Kepimpinan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ASEAN ke-7, yang telah mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di peringkat serantau.
Beliau berkata, kejayaan Wong sebagai pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Tokou dari Telupid membuktikan keupayaan rakyat Sabah untuk bersaing serta memimpin inisiatif pembangunan luar bandar di peringkat ASEAN.
“Tahniah atas pencapaian yang membanggakan ini. Kejayaan Wong wajar dijadikan contoh, khususnya oleh golongan belia Sabah, sebagai bukti bahawa usaha gigih dan komitmen dalam pembangunan komuniti mampu mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan Gerald di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Wong merupakan antara 20 penerima anugerah dari 10 negara ASEAN, sekali gus meletakkan Sabah sebaris dengan tokoh pembangunan luar bandar serantau yang menunjukkan kepimpinan cemerlang dalam usaha pembasmian kemiskinan dan pemerkasaan komuniti.
Mengulas pengiktirafan yang diterimanya, Wong berkata anugerah tersebut adalah hasil usaha kolektif bersama komuniti luar bandar yang terlibat secara langsung dalam pelbagai inisiatif pertanian moden yang dilaksanakan.
“Melalui Farm Tokou, kami memperkenalkan pendekatan pertanian moden seperti hidroponik, akuaponik dan sistem pertanian berasaskan teknologi, disokong latihan kemahiran serta pembangunan ekonomi komuniti yang membantu menjana pendapatan sampingan mampan,” katanya.
Beliau menambah, Farm Tokou setakat ini beroperasi di Telupid dan Penampang, selain membimbing lebih 100 komuniti luar bandar di 10 daerah sejak 2023, termasuk Telupid, Penampang, Sook, Ranau, Kudat dan Papar.
Menurutnya, kejayaan ini bukan milik individu semata-mata, sebaliknya merupakan kejayaan bersama komuniti luar bandar yang komited untuk menerima perubahan dan inovasi dalam sektor pertanian.
“Anugerah ini adalah milik semua komuniti yang percaya bahawa pertanian moden mampu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya.




























