KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan Sabah Investment Plan (SIP) oleh Invest Sabah akan diangkat ke kementeriannya sebelum dikemukakan sebagai input rasmi kepada pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
Beliau berkata, SIP menggariskan pelan hala tuju yang jelas untuk meletakkan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dalam tempoh lima tahun (2025-2030).
“Saya mengalu-alukan cadangan Invest Sabah untuk mengemukakan SIP dan seterusnya mencadangkan supaya ia dijadikan input kementerian bagi dimasukkan dalam Halatuju SMJ 2.0.
“Ini penting bagi memastikan agenda pelaburan negeri bergerak seiring dengan sasaran pembangunan ekonomi negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan ke Invest Sabah, di Plaza Shell, di sini, hari ini.
Taklimat mengenai peranan Invest Sabah dalam mempromosi potensi pelaburan Sabah kepada para pelabur domestik dan antarabangsa, disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah, Dr. Firdausi Suffian.
Ewon turut menyampaikan wawasan kementerian, termasuk perancangan program promosi pelaburan ke pelbagai pasaran global bukan hanya tertumpu kepada China, tetapi turut merangkumi negara-negara Asia Tenggara, Eropah dan destinasi strategik lain.
Selain itu katanya, peranan promosi pelaburan antara Invest Sabah dan Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) perlu diselaraskan agar kedua-duanya mempunyai skop jelas, terutama dalam memajukan taman-taman perindustrian negeri.
“Saya berhasrat untuk mengadakan satu perbincangan, supaya Invest Sabah diberi ruang sepenuhnya melaksanakan promosi pelaburan, manakala SEDIA memberi tumpuan khusus kepada pembangunan infrastruktur dan sokongan pelaburan dalam taman-taman perindustrian,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu harus dilaksanakan seiring dengan usaha mempromosi kawasan perindustrian sedia ada serta memperluaskan liputan ke daerah lain yang masih belum mempunyai taman perindustrian.
“Pelaburan yang masuk ke Sabah tidak boleh tertumpu hanya di taman-taman perindustrian di Kota Kinabalu, Sipitang, Lahad Datu, Kota Belud, Kudat dan Kimanis. Kita mahu limpahan pelaburan menjangkau seluruh Sabah,” katanya.
Ewon turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan kementerian persekutuan, termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa, bagi memastikan Sabah terus dipromosi sebagai destinasi pelaburan utama negara.
Mengenai taklimat itu, Ewon berkata, selain mendalami insiatif-inisiatif sedia ada yang sedang dilaksanakan oleh Invest Sabah, beliau juga berkongsi wawasan dan halatujunya di Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.
“Saya amat yakin Invest Sabah akan terus menyumbang kepada usaha-usaha membawa pelaburan masuk ke Sabah, samada pelaburan domestik ataupun pelaburan asing.
“Saya berharap pasukan Sabah First di Invest Sabah terus diperkasakan untuk memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pemegang-pemegang taruh,” katanya.
Turut serta dalam kunjungan itu Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Jonnybone J. Kurum, Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Thomas Logijin, pegawai-pegawai kementerian dan Invest Sabah.
























