Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau membangkitkan persoalan tentang peranan Kerajaan Persekutuan terhadap bekalan elektrik di Sabah.
Dalam sesi pertanyaan bertulis di Persidangan Dewan Rakyat, di sini, beliau meminta Kerajaan Persekutuan menjelaskan peranan yang masih dimainkan dalam menstabilkan bekalan elektrik di Sabah selepas urusan hal ehwal bekalan tenaga itu diserahkan kepada wilayah berkenaan.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam jawapan bertulis memaklumkan, Kerajaan Persekutuan komited untuk terus menyalurkan subsidi bekalan elektrik kepada Kerajaan Sabah sehingga tahun 2030.
“Jumlah siling indikatif subsidi daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) bagi tahun 2024 hingga 2030 yang merangkumi subsidi bahan api, subsidi solar berskala besar, subsidi sokongan tarif dan subsidi Tenaga Boleh Baharu (FiT) adalah sebanyak RM3.54 bilion.
“Jumlah ini adalah berdasarkan analisis yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga jika Kerajaan Negeri Sabah melaksanakan pelarasan tarif elektrik dalam tempoh tersebut.
“Subsidi ini perlu dimohon oleh Sabah Electricity melalui Kerajaan Negeri Sabah dan tertakluk kepada rundingan, pertimbangan dan kelulusan Kementerian Kewangan,” jelas PETRA.
Menurut kementerian itu, segala pelan pembangunan penjanaan elektrik, perolehan, pemantauan dan penyeliaan projek serta penyelesaian isu-isu dan masalah berkaitan pembekalan elektrik di Sabah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Sabah sepenuhnya sejak diserahkan daripada Kerajaan Persekutuan pada 3 Januari 2024.
Bagi membantu Sabah dalam fasa peralihan itu, Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan permohonan peruntukan pembangunan bagi projek bekalan elektrik negeri Sabah untuk Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) diberikan secara pinjaman dengan mengemukakan permohonan mengikut Rolling Plan (RP) menerusi PETRA.
Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga sudah melaksanakan projek membina dan menaik taraf talian penghantaran dan pengagihan bagi meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di Sabah oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) di bawah PETRA.
“Projek-projek PPKBES yang sudah siap akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah melalui Sabah Electricity yang akan memiliki dan mengendalikan aset tersebut.
“Pada tahun 2024, sebanyak tujuh tujuh projek siap telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah yang merangkumi tiga projek membina dan menaik taraf talian penghantaran, tiga projek talian pengagihan dan satu projek on-line monitoring sistem bekalan elektrik bagi Sabah dan Labuan.
“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dan menyokong agenda pembangunan penjanaan elektrik di negeri Sabah agar rakyat dapat manfaatnya serta sistem pembekalan elektrik menjadi lebih stabil dan terjamin,” tambah PETRA.
Dalam pertanyaan lain, Madius meminta penjelasan mengenai perkembangan terkini pembinaan beberapa sekolah baharu di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu dan SMK Laya-Laya.
Beliau meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberitahu jangka masa kesemua projek tersebut disiapkan sepenuhnya dalam Pertanyaan Bertulis pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.
“Penduduk ingin mengetahui perkembangan sebenar kerana projek berkenaan amat diperlukan untuk menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat di kawasan Tuaran,” ujarnya yang juga merupakan Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)
KPM dalam satu jawapan bertulis memaklumkan, projek pembinaan SMK Nabalu melibatkan 18 bilik darjah telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2023 dengan kos RM110 juta.
“Projek ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia melalui kaedah reka dan bina.
“Namun selepas penelitian bersama Kementerian Ekonomi, kos asal didapati tidak mencukupi susulan keadaan tapak berbukit dan berlembah yang memerlukan kerja pemotongan tanah serta perlindungan cerun intensif,” jelas KPM.
Kementerian tersebut juga memberitahu, terdapat keperluan menaik taraf jalan masuk sepanjang 3.5 kilometer.
“Bagaimanapun, syarat menaik taraf jalan itu telah diberikan pengecualian selepas sesi libat urus dengan agensi teknikal tempatan.
“JKR kini sedang melaksanakan kerja awalan dan siasatan tanah bagi mengkaji kebolehlaksanaan projek,” ujar KPM lagi.
Sementara bagi pembinaan SMK Laya-Laya, ia melibatkan 36 bilik darjah dan kemudahan piawai turut diluluskan di bawah RMK12 Rolling Plan Keempat (RP4) Tahun 2024.
Menurut kementerian itu, projek berkenaan juga dilaksanakan oleh JKR Malaysia selaras dengan Arahan AP 182.
“Status semasa projek itu berada dalam fasa perolehan kontraktor reka dan bina dengan jangkaan lantikan kontraktor pada Mac 2026. Tempoh pembinaan ditetapkan selama 36 bulan.”
KPM turut memaklumkan dua lagi projek baharu diluluskan di bawah RMK12 Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025, iaitu Sekolah Seni Malaysia Sabah di Kampung Laya-Laya serta Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Tuaran.
“Kedua-dua projek berkenaan juga akan dilaksanakan oleh JKR Malaysia dan kini dalam proses menentukan sempadan tapak seluas 80 ekar milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).
“Kerja awalan hanya akan dimulakan selepas sempadan tapak dimuktamadkan,” ujar Kementerian itu lagi.
























