KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita dan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) masing-masing menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor selaku Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dalam kenyataan media berasingan hari ini, kedua-dua sayap parti itu menegaskan komitmen penuh mereka untuk terus memperkukuh kesatuan jentera di semua peringkat demi memastikan kelangsungan kepimpinan Hajiji dalam menerajui pentadbiran negeri bagi penggal lima tahun akan datang.
Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat berkata, kemenangan GRS dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Hajiji yang berjaya membawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesinambungan pembangunan Sabah.
Justeru, seluruh kepimpinan Wanita diingatkan supaya memperteguh saf perjuangan dan memberi sokongan padu terhadap agenda pembangunan negeri, kesejahteraan sosial serta kemajuan Sabah agar dapat dilaksanakan secara konsisten dan berkesan.
Sayap Wanita itu turut merakamkan ucapan tahniah kepada barisan Jemaah Menteri Sabah yang telah mengangkat sumpah, sambil menyatakan keyakinan bahawa kabinet baharu mampu memberi tumpuan kepada penyelesaian isu rakyat secara menyeluruh, memperkasakan agenda wanita dan pembangunan anak muda, meningkatkan tadbir urus serta mempertahankan hak Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.
Sementara itu, Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat dalam kenyataannya turut menzahirkan sokongan teguh kepada Hajiji, menyifatkan kemenangan GRS sebagai manifestasi jelas kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan beliau yang berwibawa, berwawasan dan berpandangan jauh.
Pemuda juga menegaskan komitmen mereka untuk menjadi wadah utama menyuarakan aspirasi dan keperluan anak muda Sabah kepada kepimpinan parti dan kerajaan, sambil menegaskan kesetiaan terhadap setiap keputusan pimpinan demi menjaga kestabilan dan keutuhan organisasi.
Pergerakan Pemuda turut merakamkan tahniah kepada barisan kabinet baharu, sambil menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan GRS Plus akan terus memacu pembangunan negeri melalui peningkatan inisiatif kebajikan, penyelesaian isu legasi rakyat serta pengurusan sumber negeri yang berhemah.
Baik Wanita mahupun Pemuda Gagasan Rakyat, kedua-duanya yakin tempoh pentadbiran lima tahun akan datang bakal membuktikan kemampuan Kerajaan GRS Plus membawa Sabah ke arah negeri yang lebih maju, stabil, makmur dan berdaya saing demi masa depan generasi akan datang.


























