Armizan Mohd. Ali
KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd. Ali menegaskan bahawa pembentukan Kabinet Kerajaan Sabah yang diumumkan kelmarin adalah hasil komitmen semua wakil parti yang bersetuju untuk membina kerangka dan asas utama hala tuju negeri secara bersama.
Menurut beliau, meskipun lima ADUN Bebas pernah memegang peranan penting dalam kepimpinan GRS sebelum hari penamaan calon, suara serta penyertaan mereka sebagai ADUN Bebas kini tetap amat signifikan dalam memperkukuh kestabilan politik negeri.
“Agenda hak dan kepentingan Sabah mesti kekal menjadi teras utama, sebagaimana termaktub dalam aku janji pilihan raya semua parti dan ADUN terlibat,” katanya.
Beliau menambah bahawa Kabinet Negeri bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat mengenai kerangka dasar serta agenda utama pentadbiran sebaik Mesyuarat Jemaah Menteri pertama berlangsung.
Walaupun tiada satu gabungan parti memperoleh majoriti mudah untuk menubuhkan Kerajaan, Datuk Armizan menegaskan bahawa mandat rakyat jelas – mereka mahukan sebuah kerajaan dibentuk untuk membawa perubahan yang lebih bernilai dan bermakna kepada Sabah.
“Dari mana pun datangnya ADUN-ADUN yang bersama kerajaan, yang penting ialah komitmen mereka untuk melaksanakan aspirasi Sabahan melalui sebuah kerajaan yang stabil, inklusif dan berintegriti. Pada masa yang sama, ADUN pembangkang memainkan peranan penting dalam mekanisme semak dan imbang.”
Beliau berharap agar segala ikhtiar ini diberkati, demi merintis masa depan Sabah yang lebih baik dan progresif.


























