Aminah Ambrose
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diseru supaya tidak terpengaruh dengan “suara dan spekulasi” mengenai majlis angkat sumpah awal pagi Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Moyog, Datuk Aminah Ambrose berkata, tindakan pantas itu penting bagi melindungi Sabah daripada ketidakstabilan politik.
Beliau berkata, pembentukan segera kerajaan gabungan baharu bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya merupakan langkah perlu bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dan mengelakkan kekosongan pemerintahan selepas pilihan raya negeri pada Ahad.
“Dalam politik, ada pepatah lama: ‘Untuk mentadbir dengan berkesan, semuanya bergantung kepada angka.’ Kerajaan yang stabil memerlukan majoriti yang kukuh.
“Sebab itulah parti-parti perlu bergerak pantas membina kerjasama dan bersatu di bawah satu gabungan yang kuat. Rakyat tidak boleh berdepan ketidaktentuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedudukan Hajiji sebagai pemimpin yang mengetuai gabungan dengan jumlah kerusi terbanyak — 29 keseluruhan — meletakkannya pada posisi paling kukuh dan paling sah untuk menerajui pentadbiran baharu.
Dengan 37 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan majoriti mudah, Aminah berkata, beberapa parti politik serta calon bebas tampil menyatakan kesediaan untuk bersama GRS, didorong komitmen bersama terhadap kestabilan dan kemajuan jangka panjang Sabah.
“Kesediaan mereka untuk bekerjasama mencerminkan semangat bersama dalam membina Sabah yang lebih baik serta menunjukkan kematangan politik dan kefahaman tentang apa yang rakyat paling perlukan — kestabilan, hala tuju dan keyakinan bahawa pembangunan akan terus berjalan,” katanya.
Aminah menegaskan bahawa hanya gabungan yang bersatu dan stabil dapat membuat keputusan tepat pada masanya, memastikan perkhidmatan tidak terganggu dan melaksanakan dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Gabungan yang bersatu bermaksud kerajaan yang stabil, mampu berkhidmat kepada rakyat tanpa rasa bimbang akan gangguan. Itulah yang Sabah layak dapat,” katanya sambil menzahirkan komitmen Gagasan Rakyat Bahagian Moyog untuk menyokong segala usaha mengukuhkan tadbir urus dan masa depan negeri.
Dalam pada itu, Aminah memuji kepimpinan inklusif Hajiji susulan sokongan yang diberikan Barisan Nasional (BN) dan Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), dua lagi parti yang memenangi kerusi dalam pilihan raya tersebut.
“Saya percaya Hajiji sangat menitikberatkan nilai inklusiviti dan tidak mengetepikan sesiapa. Walaupun berbeza ideologi politik, beliau melihat bahawa kita semua adalah rakyat Sabah,” katanya.


























