Julita Mojungki mengangkat sumpah sebagai Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah pada majlis angkat sumpah di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Wanita DAP Sabah merangkap Setiausaha Wanita Pakatan Harapan Sabah, Bronica Sikula merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Julita Mojungki atas pelantikan beliau sebagai Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
Pelantikan ini katanya, merupakan satu pengiktirafan terhadap kepimpinan wanita dalam pentadbiran negeri, selaras dengan aspirasi Iltizam Wanita Harapan Sabah 2025 yang menekankan peranan wanita sebagai tonggak kesejahteraan keluarga, pembangunan komuniti dan kemajuan negeri secara menyeluruh.
Seiring iltizam tersebut, Bronica menegaskan bahawa kepimpinan wanita perlu diperkukuh bukan sahaja di peringkat menteri, tetapi juga dalam barisan pembantu menteri.
“Memandangkan hanya lima daripada 73 kerusi DUN — atau 6.85 peratus — disandang wanita, pelantikan ADUN Dilantik wajar mengutamakan calon wanita bagi mengurangkan jurang besar antara penyertaan politik lelaki dan wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bronica Sikula
Beliau menyampaikan harapan agar jawatan pembantu menteri dan ADUN Dilantik turut diberikan kepada tokoh wanita yang berwibawa, berintegriti dan berjiwa rakyat.
Langkah ini katanya, akan memastikan kesinambungan dasar inklusif serta memperkukuh suara wanita dalam proses membuat keputusan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat Sabah.
Bronica berkata, pelantikan Julita merupakan langkah penting ke arah memperkasa kepimpinan wanita, namun usaha ini perlu diteruskan dengan komitmen berterusan.
Beliau turut menyeru semua pihak, sama ada di peringkat akar umbi mahupun institusi negeri, untuk terus mendukung kepimpinan wanita yang berani dan berprinsip.
Dengan semangat Wanita Harapan Sabah 2025 katanya, kepimpinan wanita diyakini mampu menjadi pemacu kepada Sabah yang lebih sejahtera, adil dan penuh harapan.


























