Joniston Bangkuai
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan hubungannya dengan Pakatan Harapan (PH) berpaksi kepada kepentingan negeri yang berkonsep menang-menang.
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai menjelaskan, GRS bukan komponen PH dan PH bukan sebahagian GRS.
“Hubungan diantara GRS dan PH ini bersifat kerjasama bagi memastikan pembangunan negeri berjalan lancar serta inisiatif untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Konsep menang-menang ini akan membawa hasil nyata kepada Sabah melalui saluran pentadbiran yang lebih stabil, sementara Kerajaan Persekutuan mempunyai rakan kerja negeri yang konsisten dan mampu melaksanakan dasar,” katanya.
Joniston berkata demikian semasa perjumpaan dengan siswazah dan mahasiswah di Kiulu, pada Khasmis, untuk menangkis persepsi yang dimainkan pihak lawan bahawa GRS “dikawal dan bersekongkol” dengan PH.
Beliau menekankan bahawa hubungan baik antara negeri dan Persekutuan tidak harus dikorbankan demi pendekatan politik jangka pendek untuk meraih undi, lebih-lebih lagi apabila GRS, seperti parti tempatan lain, sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan di peringkat pusat.
Joniston menegaskan bahawa hubungan baik itu perlu diterapkan di peringkat negeri bagi memastikan Sabah diterajui gabungan tempatan secara autonomi, sambil memastikan pentadbiran berjalan lancar dan projek pembangunan rakyat dapat dipacu dengan lebih berkesan.
Menurut beliau, mandat kuat kepada GRS membolehkan negeri berunding dari posisi lebih kukuh dengan Persekutuan dalam isu menuntut hak-hak dan menjaga kepentingan Sabah serta mendapat peruntukan, projek mega, pembangunan ekonomi luar bandar dan sosial.
Justeru itu, Joniston menyifatkan penyatuan semua parti tempatan yang sehaluan di bawah GRS sebagai langkah baik bagi memperkuatkan suara Sabah.
“Kalau kita gabungkan kekuatan kita, suara Sabah akan lebih kuat. Inilah asas konsep menang-menang,” ujarnya, sambil menambah bahawa sesiapa sahaja yang membentuk kerajaan selepas pilihan raya negeri tetap perlu bekerjasama dengan Persekutuan.
Dengan hari mengundi semakin hampir, Joniston menyeru pengundi menilai berdasarkan hasil pentadbiran GRS, bukan semata-mata permainan persepsi pihak luar.






























