AK Jamaludin Pg. Yassin
BONGAWAN: Tindakan Umno Kimanis yang cuba menyalahkan calon GRS, Tan Sri Anifah Aman, dalam isu projek strategik disifatkan sebagai usaha terdesak untuk menutup kegagalan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, menunaikan janji pilihan raya sebelum ini.
Ketua Pemuda GRS, AK Jamaludin Pg. Yassin berkata, walaupun projek Mini Stadium Kimanis dan Kolej Komuniti Kimanis diluluskan ketika Anifah menjadi Ahli Parlimen Kimanis, Mohamad sewajarnya meneruskan kesinambungannya.
Beliau berkata, Mohamad sendiri pernah ‘berjanji’ melaksanakan kedua-dua projek itu dalam manifesto BN ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis sebelum ini, yang membolehkan beliau diberi mandat sebagai Ahli Parlimen.
Katanya, tidak sepatutnya Mohamad meletakkan kegagalan berkenaan di bahu Anifah yang telah berusaha sehingga projek berkenaan diluluskan, meskipun Mohamad kemudian cuba mengambil kredit tetapi masih gagal merealisasikannya.
“Mengapa kesinambungan tidak berlaku sejak 2019 selepas Mohamad menjadi Ahli Parlimen Kimanis, lebih-lebih lagi apabila beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri di persekutuan?
“Kalau projek Kolej Komuniti Kimanis dibatalkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), mengapa permohonan itu tidak dihidupkan semula selepas 2020 ketika Mohamad sudah berada dalam kerajaan?
“Ditambah lagi ketika itu beliau seorang timbalan menteri, mengapa tidak diperjuangkan sehingga kolej ini diluluskan semula? Rakyat menunggu, tetapi tiada hasil hingga kini,” katanya dalam satu kenyataan.
AK Jamaludin mengakui ada projek kecil dilaksanakan Mohamad sebagai Ahli Parlimen Kimanis, namun limpahannya tidak meluas dan tidak merangkumi semua kampung.
Beliau berkata, dakwaan pembangunan yang turut melibatkan DUN Membakut lebih banyak dibawa penyandangnya yang juga calon GRS, Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif.
Bagaimanapun, katanya, daripada semua pembangunan yang didakwa Mohamad, Bongawan masih ketinggalan dalam pelbagai aspek, khususnya limpahan pembangunan yang boleh mengangkat kemajuan kawasan itu.
“Kita hargai projek naik taraf dan pembangunan kecil yang dibawa, tetapi takkan itu saja kemampuan Mohamad sebagai Ahli Parlimen Kimanis hampir dua penggal dan Timbalan Menteri Persekutuan?
“Semua projek kecil dilaksanakan, namun projek strategik yang dijanjikan sejak 2018 hingga kini belum direalisasikan, menyebabkan Bongawan terus ketinggalan dalam aspek O&G, infrastruktur dan logistik,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Ketua Pemuda Umno Kimanis (Dell) sendiri maklum mengenai keperluan projek strategik itu selepas ‘melompat’ ke Warisan pada 2018 dan menjadi sebahagian kepimpinan Wira Warisan ketika itu.
Mengenai isu kedai lama terbakar, AK Jamaludin menjelaskan bahawa kenyataannya sebelum ini merujuk kepada ketiadaan tindakan membersihkan sisa kebakaran yang mencacatkan pemandangan Pekan Bongawan.
Katanya, beliau tidak meminta Mohamad membina infrastruktur baharu kerana bangunan itu milik persendirian, tetapi hanya meminta sisa kebakaran dibersihkan.
“Kita maklum bangunan itu hak persendirian, tetapi takkan sisa kebakaran dibiarkan tanpa pembersihan. Sekurang-kurangnya, Mohamad cari inisiatif untuk membersihkannya.
“Ini perkara asas. Kita cuma minta dibersihkan sisa kebakaran, bukannya rampas hak orang. Hal sekecil ini pun tidak mampu diselesaikan,” tegasnya.
Beliau berkata, keadaan itu menggambarkan pemikiran seorang pemimpin yang gagal menyelesaikan isu kecil tetapi diberi tanggungjawab berkaitan urusan luar negara.
Katanya, masalah itu turut membuktikan Mohamad sentiasa memerlukan bantuan untuk meningkatkan kredibiliti kepimpinan, termasuk semasa PRK Kimanis 2019 yang menyaksikan beliau bergantung kepada bantuan Anifah.
AK Jamaludin berkata, ramai penyokong akar umbi BN masih mengingat jasa Anifah yang bekerja keras berkempen sehingga kemenangan memihak Mohamad.
Beliau menegaskan bahawa politik hari ini memerlukan kejujuran dan rekod kerja yang jelas, bukan retorik, kerana rakyat menuntut keputusan, ketelusan dan prestasi.
“Rakyat tahu siapa yang konsisten bekerja, siapa yang hanya muncul apabila hampir pilihan raya, dan siapa yang benar-benar membawa pembaharuan serta pembangunan besar di Bongawan.
“Akhirnya, rakyat Bongawan yang akan menentukan siapa mampu membawa pembangunan lebih besar, bukan sekadar projek naik taraf yang wakil rakyat pembangkang pun boleh lakukan,” katanya.































