SETELAH mengambil alih tampuk pemerintahan di Sabah, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperkenalkan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0) 2021-2025 sebagai panduan strategik dalam memastikan pembangunan menyeluruh, inklusif dan mampan.
Berlandaskan prinsip “Rumah Kita, Kita Jaga”, Hala Tuju SMJ memupuk rasa pemilikan rakyat terhadap pembangunan negeri sambil menekankan kemakmuran bersama.
Hala Tuju SMJ memberi fokus kepada tiga teras utama — pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan modal insan, serta pembangunan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar — yang disokong oleh lima pemboleh daya seperti tadbir urus berintegriti, kerajaan digital dan akses kepada kemudahan kewangan.
Dalam sektor ekonomi, Kerajaan GRS memberi keutamaan kepada pertanian moden, perikanan, pelancongan dan perindustrian bagi merancakkan pendapatan rakyat dan menarik pelaburan baharu.
Pembangunan zon industri seperti Taman Industri Ekonomi Biru di Kudat dan beberapa taman perindustrian baharu di Kota Belud, Kota Marudu dan Beaufort-Kimanis menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Dalam pembangunan infrastruktur, lebih 982 kilometer jalan raya luar bandar dibina atau dibaik pulih sejak 2021, di samping penyediaan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan internet berkelajuan tinggi di kawasan-kawasan luar bandar.
Lebih 30,000 rumah kini menerima bekalan air bersih manakala lebih 7,000 rumah percuma siap dibina di bawah program Rumah Mesra SMJ. Di samping itu, bantuan tunai, skim subsidi dan perumahan terus disalurkan kepada B40, ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah sebagai jaminan kesejahteraan.
Dalam bidang pendidikan dan modal insan, Kerajaan GRS memperkukuh sekolah, kolej vokasional dan latihan kemahiran bagi melahirkan generasi belia berkemahiran tinggi serta selaras dengan keperluan pasaran kerja.
Usaha pemulihan hutan, tenaga hijau dan pengurusan sumber air pula memastikan kelestarian alam dan menjamin masa depan generasi akan datang. Usaha pemulihan hutan menyasarkan 400,000 hektar kawasan terdegradasi, selain menambah 200,000 hektar kawasan lindung sebagai komitmen Sabah terhadap alam sekitar.
Pembangunan ekonomi diperkukuh lagi dengan projek pertanian moden yang meningkatkan produktiviti tanaman seperti padi, nenas dan serai, termasuk skim takaful tanaman untuk melindungi petani.
Sektor pelancongan turut mendapat suntikan melalui promosi bersepadu, pembangunan kemudahan pelancongan dan latihan komuniti, membantu merancakkan ekonomi tempatan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.
Sejak pelaksanaan Hala Tuju SMJ, Sabah merekodkan RM35.38 bilion pelaburan terkumpul, dengan 52 projek bernilai RM17.42 bilion direalisasikan antara 2021 hingga 2024. Ini menyumbang kepada peningkatan hasil negeri sebanyak RM26.224 bilion dan pertumbuhan KDNK daripada RM77.8 bilion pada 2020 kepada RM84.3 bilion pada 2024.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegaskan Hala Tuju SMJ bukan sekadar pelan pentadbiran, tetapi hala tuju seluruh rakyat Sabah menuju negeri inklusif, berdaya saing dan lestari.
GRS selesaikan masalah legasi Sabah
Seiring kemajuan ini, Kerajaan GRS turut menangani isu legasi puluhan tahun melibatkan bekalan air dan elektrik yang sekian lama membebankan rakyat.
Melalui pendekatan berfasa, Kerajaan GRS memulihkan infrastruktur asas melalui projek menaik taraf kapasiti rawatan air, pembinaan empangan, penggantian paip uzur serta pengukuhan sistem tenaga negeri.
Antara projek paling signifikan ialah Loji Rawatan Air Kogopon II di Papar yang meningkatkan kapasiti dari 40 juta liter kepada 80 juta liter sehari — sekali gus menyelesaikan masalah air di Papar, Putatan dan kawasan sekitar Kota Kinabalu. Di Tuaran, projek Telibong II Fasa 2 dipercepatkan untuk menampung permintaan air terawat di Kota Kinabalu dan Sepanggar.
Kerajaan turut meluluskan 18 projek air bernilai lebih RM300 juta, melibatkan penggantian paip lama, pembinaan sistem retikulasi baharu, pengurangan NRW, serta fasiliti sokongan di seluruh negeri. Di pedalaman, 82 projek air luar bandar sedang dilaksanakan bagi memastikan penduduk menerima bekalan air bersih lebih konsisten. Di Tawau, projek air baharu dan kajian empangan diteruskan bagi meningkatkan tekanan dan kapasiti air yang telah lama menjadi rungutan penduduk.
Di samping itu, projek mega Empangan Hidroelektrik Ulu Padas bakal menjadi penyelesaian jangka panjang dengan keupayaan mengalirkan sehingga 6,000 juta liter air mentah sehari, selain menyumbang kepada tenaga elektrik Sabah.
Dalam sektor tenaga, pelaksanaan projek kuasa baharu berkapasiti 1,219 MW antara 2025 hingga 2031 serta pengukuhan grid telah mengurangkan gangguan elektrik daripada 332 minit pada 2021 kepada 207 minit pada 2024. Usaha ini meningkatkan kebolehpercayaan bekalan dan menyokong pertumbuhan industri.
Keberhasilan pelbagai projek ini turut didorong oleh kerjasama erat Sabah–Persekutuan yang mempercepatkan kelulusan, pembiayaan dan pelaksanaan infrastruktur kritikal.
Dengan projek yang sedang dijalankan serta perancangan masa depan, Kerajaan GRS menegaskan komitmennya untuk “terus kasi bagus Sabah”, memastikan setiap usaha pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

































