Liew bersama Samsiah bergambar kenangan bersama para hadirin yang hadir pada malam tadi.
TAWAU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah menjadikan pentas kempen PRN kali ini sebagai isyarat jelas bahawa beliau memilih untuk meninggalkan ruang kepada generasi baharu, khususnya melalui calon GRS di DUN Kukusan, Samsiah Usman.
Liew berkata, keputusan tidak bertanding di Kukusan bukan kelemahan politik, sebaliknya strategi untuk memastikan belia mempunyai pemimpin yang dekat dengan mereka.
“Bagi peluang kepada calon baharu. Suara orang muda penting. Samsiah ada idea, komitmen dan kemampuan untuk jaga belia Kukusan,” katanya ketika berucap di Tawau.
Liew menegaskan Kukusan memiliki kelompok belia yang kuat dan matang, bukan mudah dipengaruhi dengan janji kosong.
“Belia bukan senang dibeli. Mereka perlukan peluang kerja, peluang hidup yang lebih baik — bukan slogan semata-mata.”
Beliau menambah bahawa ramai anak muda terpaksa bekerja di luar kerana kekurangan peluang dan ini mesti diperbetulkan segera.

Liew berkata, Perdana Menteri turut memberi komitmen untuk bekerjasama dalam agenda pembangunan di Kukusan dan Merotai, yang menurutnya memerlukan kesinambungan kepimpinan GRS.
“Saya sokong Kerajaan GRS kerana kerja mereka serasi dengan keperluan orang muda. Kukusan dan Merotai perlukan pembangunan yang konsisten, bukan eksperimen politik.”
Liew turut menekankan bahawa perwartaan kampung perlu disegerakan agar penduduk memiliki kepastian hak tanah.
“Tanah itu milik orang kampung. Kita mahu ia diluluskan segera supaya mereka tinggal aman dan tidak dihimpit ketidakpastian.”
Dalam nada amaran, Liew mengingatkan calon agar tidak “selesa selepas menang”, sambil menegaskan bahawa PRN ini menuntut kerjasama penuh dalam GRS.
“GRS mesti jangan berpecah. 80 peratus pengundi Kukusan dan Merotai adalah rakyat tempatan. Mereka tahu siapa buat kerja, siapa datang masa pilihan raya sahaja.”
Liew turut menyentuh perjalanan politiknya, termasuk pengalaman digugurkan pada 2008 yang menurutnya tidak pernah melemahkan semangatnya.
“Saya tidak sabotaj sesiapa. Saya pernah dilucut jadi calon, tapi saya terus berjuang sampai hari ini. Itu sebab saya pilih untuk bantu calon baharu, bukan berebut kerusi.”
Beliau menegaskan PHRS kekal komited mendukung calon GRS dan memberi ruang kepada Samsiah untuk membawa agenda belia Kukusan.
































