Fadhlina (tengah, depan) merakamkan gambar kenangan semasa turun padang meninjau persiapan Peperiksaan SPM di SMK Keningau.
KENINGAU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersiap siaga menghadapi cuaca bagi memastikan lebih 413,000 calon tetap menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2025 berlangsung, pihaknya bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya melibatkan kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Ada sedikit cabaran di beberapa negeri kerana banjir, tapi alhamdulillah semua persiapan berjalan dengan baik dengan siap-siaga daripada semua agensi-agensi yang terlibat.
“Jadi untuk Sabah, saya ucap terima kasih kepada JPN, PPD dan sekolah khususnya yang telah memastikan persiapan walaupun ada kemungkinan-kemungkinan hujan lebat, banjir dan sebagainya.
“Persiapan itu telah pun kita laksanakan dengan lebih awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Ops Payung di yang kita aktifkan di seluruh negara,” jelasnya kepada media dalam sesi turun padang bersama Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) dan Pengetua untuk meninjau persiapan peperiksaan bagi kertas pertama Bahasa Melayu di SMK Keningau, pada Selasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon SPM, sambil menegaskan KPM akan terus menyokong dan memastikan peperiksaan berjalan lancar.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua anak-anak yang menghadapi SPM pada hari ini. Semoga kejayaan mengiringi anak-anak semua dan pastikan maknanya segala persiapan itu berjalan dengan baik.
“Di peringkat KPM akan terus menyokong dan mendukung dan memastikan semua persiapan anak-anak khususnya menghadapi baik cuaca maupun bencana banjir, anak-anak akan tetap meneruskan peperiksaan sepertimana yang telah pun diatur dan disusun,” ujarnya.
Sementara itu, Raisin ketika ditemui media memaklumkan, JPN Sabah cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana dan penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI).
Mengulas mengenai persiapan JPN Sabah, Raisin mendedahkan pihaknya akan mengaktifkan Operasi Payung sekiranya berlaku bencana banjir bagi membantu calon dan petugas peperiksaan yang terkesan.
“Calon akan ditempatkan di asrama sekolah atau pusat pemindahan sementara dan bantuan logistik akan disalurkan kepada calon dan petugas peperiksaan asal terjejas dengan banjir.
“Bagi memastikan kesejahteraan mental dan emosi calon peperiksaan, JPN Sabak turut menyediakan khidmat sokongan psikososial,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua calon peperiksaan agar memaklumkan kepada pihak sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
“Calon boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat JPN Sabah 088-304099 / 088-221132 JPN Sabah komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2025 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,” ujarnya lanjut.
Di Sabah, jumlah calon SPM di Sabah meningkat kepada 37,038 orang manakala 232 orang lagi merupakan Calon Berkeperluan Khas (CBK) yang akan menduduki peperiksaan di 320 pusat peperiksaan seluruh Sabah melibatkan seramai 4,214 petugas peperiksaan termasuk pengawas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan.
Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 yang bermula hari ini hingga 23 Disember depan juga melibatkan 81 mata pelajaran melibatkan 113 kertas peperiksaan yang diambil oleh calon di negeri ini.































