Dr. Bonaventure Boniface (tiga dari kiri) bergambar bersama petugas media.
PENAMPANG: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N14 Tamparuli, Dr. Bonaventure Boniface berharap pengundi muda berusia 18 tahun yang bakal mengundi buat pertama kali akan memanfaatkan peluang untuk memilih kerajaan yang memberi keutamaan kepada belia.
“Hanya Kerajaan GRS menyediakan pelbagai insentif dan bantuan kepada anak muda. Dalam manifesto GRS, 10 daripada 16 strategi memberi tumpuan kepada pembangunan belia. Pada 29 November nanti, turunlah beramai-ramai dan undilah Gabungan Rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui semasa lawatannya ke Pusat Media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah Ke-17 di The Majulan Hotel di sini, hari ini.
Beliau turut membentangkan lima tonggak utama visinya bagi memajukan Tamparuli, dengan menekankan agenda pembangunan ekonomi, pendidikan belia, infrastruktur, kebudayaan serta tadbir urus berasaskan penyertaan rakyat.
Menurutnya, tawaran tersebut digerakkan melalui slogan “Komuniti Bersatu, Tamparuli Maju” yang dirangka sebagai asas pembangunan menyeluruh daerah itu.
“Hari ini saya ingin menawarkan khidmat kepada rakyat Tamparuli menerusi slogan Komuniti Bersatu, Tamparuli Maju. Saya membawa lima tonggak perjuangan yang telah disusun dengan rapi kerana kita sudah ada perancangan dan pelaksanaan,” katanya.
Tonggak pertama memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan inovasi yang membuka peluang baharu di setiap kampung bagi meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
“Setiap kampung ada ruang untuk meningkatkan ekonomi. Paling penting, setiap lapisan masyarakat — wanita, belia dan anak muda — perlu mempunyai pendapatan bulanan yang stabil,” katanya.
Tonggak kedua pula menumpukan pembangunan modal insan dan pendidikan belia, termasuk laluan pendidikan tinggi serta latihan kemahiran.
“GRS menyediakan pelbagai bantuan dan biasiswa. Kita akan pastikan anak-anak Tamparuli yang layak menerima bantuan ini. Untuk belia berminat dalam kemahiran, kita mahu menubuhkan Institut Kemahiran Belia Tamparuli dengan kursus relevan seperti baiki motosikal, mengecat rumah, elektrikal dan pembuatan kek,” katanya.
Meneruskan agenda pembangunan sedia ada, Dr. Bonaventure berkata, tonggak ketiga memberi tumpuan kepada infrastruktur dan pendigitalan.
“Kita akan terus menaik taraf jalan kampung, termasuk jalan pertanian, selain memastikan kemudahan asas seperti air, elektrik dan lampu jalan dipertingkatkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan menjaga alam sekitar serta memelihara tradisi dan kebudayaan Tamparuli yang menjadi identiti daerah itu.
“Sungai mesti kekal bersih dan tidak tercemar. Kebudayaan dan tradisi juga perlu dipertahankan agar anak muda memahami identiti mereka,” katanya.
Tonggak terakhir, katanya, ialah tadbir urus dan penyertaan rakyat melalui penubuhan Majlis Penasihat Komuniti Tamparuli.
“Setiap empat bulan, saya mahu bertemu pemimpin komuniti, ketua kampung, JPKK dan persatuan untuk mendapatkan pandangan serta menyelesaikan isu setempat. Pembangunan terbaik lahir daripada suara rakyat,” katanya.




























