Ellron (tengah) bersama Edward dan Rushdy.
SOOK: Ketua Penyelaras Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Sook, Edward Kandok hari ini mengumumkan pembubaran rasmi KDM Bahagian Sook sebagai tanda sokongan penuh kepada Datuk Ellron Angin, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN N45 Sook pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17.
Menurut Edward, sehingga tarikh pengumuman dibuat, KDM Bahagian Sook mempunyai lebih 500 ahli dan keputusan membubarkan bahagian itu diambil sebagai langkah strategik untuk menyatukan sokongan rakyat demi kesinambungan pembangunan di kawasan berkenaan.
“Keutamaan saya adalah kesepaduan rakyat Sook. Kita perlu bersatu demi masa depan dan pembangunan kawasan ini. Sokongan saya adalah untuk memastikan Datuk Ellron Angin diberi mandat yang kuat dalam PRU DU ke-17,” katanya.
Beliau turut menyeru rakan-rakan serta penyokong yang belum membuat keputusan politik agar bersatu menyokong Ellron sebagai usaha memperkukuh peluang kemenangan GRS di Sook.
Pengumuman itu dibuat dalam satu pertemuan bersama calon GRS N45 Sook di Kampung Susulat.
Dalam majlis tersebut, Edward menegaskan bahawa kepimpinan konsisten dan berorientasikan rakyat adalah asas kepada kemajuan Sook.
Untuk rekod, Edward merupakan mantan Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) semasa pentadbiran Warisan dari 2018 hingga 2020.
Turut hadir menyatakan sokongan ialah Rushdy Raphael, anak muda Sook yang baru-baru ini menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) selepas meletak jawatan sebagai Ketua Pemuda PBS N45 Sook. Beliau turut menolak dakwaan terhadap Ellron bahawa calon GRS itu “tidak bekerja”.
“Kita boleh melihat sendiri pelbagai perubahan yang telah beliau laksanakan. Antara kejayaan terbesar untuk rakyat Sook ialah usaha beliau menaik taraf Sook kepada status daerah penuh, yang membawa manfaat langsung kepada pembangunan pentadbiran, ekonomi dan masa depan generasi muda,” kata Rushdy.
Sokongan yang semakin bertambah ini dilihat sebagai momentum penting buat GRS di DUN N45 Sook menjelang PRU DU ke-17, sekali gus menandakan kesediaan rakyat untuk terus bersama kepimpinan yang diyakini mampu meneruskan pembangunan.




























