Joeynodd melawat seorang wanita yang cedera akibat kemalangan jalan raya.
PENAMPANG: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, Ir. Ts. Joeynodd Bansin menegaskan komitmen beliau untuk terus berjuang sehingga hari terakhir tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17.
“Tinggal enam hari lagi, kami terus berjuang, terus dan terus maju. Kami all out ini sekarang,” kata Joeynodd ketika ditemui pada program ceramah dan interaksi bersama pengundi di Moyog.
Beliau berkata, jadual hari ini padat dengan lapan program bagi mendekati pengundi di pelbagai lokasi. Perjalanan bermula pada jam 8 pagi dengan lawatan ke Saint Martin di Moyog untuk sembahyang dan beramah mesra dengan umat-umat di dewan gereja itu.
Pada jam 9.30 pagi, beliau mengadakan walkabout di Tamu Babagon dan Tamu Moyog bagi bertemu peniaga serta pengunjung, sebelum sesi santai dan interaksi di rumah Alex Ginsai pada jam 12 tengah hari. Seterusnya, pada jam 1 tengah hari, beliau mengadakan satu lagi sesi santai di Kampung Tulung, Inobong.

Joeynodd (kiri) melawat mangsa kebakaran.
Joeynodd menambah, pada jam 3 petang, beliau berinteraksi dengan penduduk di Bamboo House, Kimoligan, sebelum menyertai ceramah di rumah Francis Tunding, Madsiang pada jam 4 petang.
Aktiviti kempen diteruskan pada jam 6 petang dengan sesi santai di rumah Elgius Kubot (Awos) dan diikuti ceramah pada jam 7 malam di rumah Ambrose Pius, Kg Kibunut.
Program terakhir hari ini adalah ceramah di rumah Markry di Gunsing pada jam 9.30 malam. Beliau berkata, setiap sesi kempen penting bagi mendengar suara rakyat dan berkongsi manifesto GRS.
Joeynodd menekankan bahawa pendekatan mesra rakyat ini membolehkan beliau berinteraksi secara langsung dengan pengundi, memahami isu setempat dan menawarkan penyelesaian yang relevan.

Joeynodd (kanan) melawat warga emas yang sakit.
Beliau yakin bahawa komitmen berterusan dan kehadiran aktif di semua peringkat komuniti akan memberi keyakinan kepada pengundi untuk memilih calon GRS pada PRU DU ke-17.
“Setiap program ini adalah peluang untuk mendengar harapan pengundi dan memastikan suara mereka sampai ke Dewan Undangan Negeri. Kami akan terus berjuang hingga hari terakhir,” tambahnya.




























