Joniston bersama Louis (kanan) semasa berkempen.
KIULU: Sokongan berterusan mantan ADUN Kiulu, Datuk Louis Rampas terhadap calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai mencerminkan kesinambungan kepimpinan di Kiulu menjelang pilihan raya negeri ini.
Sejak Joniston pertama kali dicalonkan pada 2013, Louis, 74, kekal hadir memberi sokongan dan dorongan kepada penggantinya itu sejak PRN 2013.
Sebagai wakil rakyat Kiulu dari 1999 hingga 2013, Louis, yang berpengalaman sebagai pegawai kanan kerajaan termasuk Pegawai Daerah, telah meletakkan asas pembangunan dan perancangan awal yang penting untuk kawasan itu.
Perancangan tersebut kini diteruskan oleh Joniston dalam semangat kesinambungan dan kerjasama kepimpinan.
Keterlibatan kedua-dua pemimpin dari Parti Bersatu Sabah (PBS), salah satu parti komponen GRS, memperlihatkan hubungan politik yang stabil serta berfokus kepada pembangunan kawasan.
“Saya amat menghargai sokongan berterusan Datuk Louis yang saya anggap a real gentleman sejak hari pertama saya dicalonkan. Beliau meninggalkan asas yang kukuh, dan menjadi tanggungjawab saya untuk meneruskan perancangan itu demi memastikan Kiulu terus maju dengan cara yang tersusun dan menyeluruh,” kata Joniston dalam kempen ceramah di PDM Tomis, di sini, hari ini.
Di bawah pentadbiran Joniston, Kiulu menyaksikan pelaksanaan pelbagai usaha pembangunan yang tersusun, termasuk mengukuhkan inisiatif terdahulu sambil memperkenalkan program baharu bagi memenuhi keperluan penduduk.
Peruntukan ADUN yang lebih tinggi di bawah kerajaan GRS membolehkan projek pembangunan berjalan dengan lebih progresif.
“Joniston menunjukkan kesungguhan dan integriti sejak mengambil alih tanggungjawab pada 2013. Saya melihat sendiri bagaimana perancangan lama diperkukuh dengan inisiatif baharu, dan sebab itu saya terus berdiri bersama beliau untuk masa depan Kiulu,” kata Louis.
































