Masiung (tiga dari kiri) bersama calon GRS Sungai Sibuga, Datuk Amir Shah Yakob (empat dari kiri).
SANDAKAN: Program pembangunan yang telah dan sedang dirancang di Sabah berisiko gagal jika rakyat terus mengambil risiko menukar kerajaan dengan kerap.
Naib Presiden Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah mengingatkan bahawa peralihan kerajaan lebih banyak membawa keburukan kepada rakyat dan negeri berbanding kebaikan.
“Bila kerajaan bertukar, maka polisi akan berubah, dasar baharu diwujudkan, projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan akan terbantut.
“Akibatnya rakyat akan menanggung kerugian apabila pembangunan yang sedang berjalan gagal diteruskan,” tegasnya ketika ditemui media selepas berkempen membantu calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN Sekong dan DUN Sungai Sibuga di sini, kelmarin.
Masiung menambah, jika wujud kerajaan baharu, ia lazimnya mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk menyusun pentadbiran, membentuk jawatankuasa dan menggubal dasar. Sedangkan Kerajaan GRS, katanya, sudah mempunyai perancangan sedia ada untuk diteruskan.
“Kesinambungan Kerajaan GRS penting untuk mengelakkan pembangunan negeri ini terbantut, dan memastikan kestabilan politik yang kini dinikmati terus dikekalkan.
“Sejarah lalu membuktikan bahawa apabila politik tidak stabil dan kerajaan kerap bertukar tangan, program pembangunan serta inisiatif yang telah dirancang tidak dapat diteruskan…akhirnya rakyat yang menerima risikonya.”
Masiung yakin calon GRS di DUN Sekong, Puan Sri Diana Hamdan Diego dan calon GRS di DUN Sungai Sibuga, Datuk Amir Shah Yakob mempunyai kekuatan tersendiri untuk merampas kedua-dua kerusi berkenaan daripada pembangkang.
































