Khairul Firdaus ketika ditemui media.
KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi menjadi tumpuan serantau apabila dipilih sebagai tuan rumah Mesyuarat Pegawai Kanan ke-21 Mengenai Kebudayaan dan Seni (SOMCA) yang bertujuan memperkukuhkan kerjasama seni dan budaya dalam kalangan negara ASEAN.
Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pemilihan Sabah sebagai lokasi penganjuran adalah bertepatan dengan kedudukan negeri itu yang terkenal dengan kepelbagaian komuniti, keunikan warisan serta seni tradisi yang masih terpelihara.
“Seperti yang diketahui umum, Sabah ini kaya dengan budaya, kaya dengan kesenian, kaya dengan pelbagai latar belakang komuniti. Itu sebabnya Sabah dipilih untuk mesyuarat peringkat SOMCA ASEAN,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan SOMCA disini pada Rabu.
Beliau turut menekankan bahawa penglibatan rakan dialog ASEAN iaitu China, Jepun dan Republik Korea memainkan peranan besar dalam memperkukuhkan ekosistem budaya rantau ini melalui pelbagai bentuk kerjasama termasuk warisan, pembangunan kapasiti dan projek seni kreatif.
“Apa yang jelas kita dapat lihat, ada delegasi daripada tiga rakan kita yang bukan di bawah ASEAN. Tapi kita panggil mereka partners iaitu negara China, Jepun dan juga Republik Korea.
“Ini menunjukkan komitmen dan juga persefahaman yang baik di kalangan ahli-ahli ASEAN untuk kita bersama-sama juga memperkasakan ASEAN dalam sektor kebudayaan,” katanya.
Mengulas manfaat kepada Sabah, beliau berkata penganjuran SOMCA bukan sahaja memperkukuh usaha melindungi dan memelihara budaya tempatan, malah membuka ruang lebih luas untuk mempromosi kekayaan warisan Sabah kepada rantau Asia Tenggara dan dunia.
“Pertama, ia akan memperkuat komuniti dalam hal melindungi budaya kita. Dan juga, ia merupakan platform yang terbaik bagi kita untuk mempromosikan kekayaan kita dalam budaya dan dunia,” jelasnya.
Beliau percaya penganjuran mesyuarat ini di Sabah memberi peluang kepada delegasi untuk melihat sendiri warisan dan tarikan budaya negeri tersebut, sekali gus memperluas apresiasi terhadap keindahan dan kepelbagaian budaya Malaysia.
Seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), Malaysia kekal teguh dalam meletakkan budaya dan seni sebagai tunjang penting pelancongan lestari dan pembangunan ekonomi kreatif, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan inklusiviti, kelestarian dan kemakmuran bersama.
Menerusi kerjasama ASEAN dan pertukaran budaya, MOTAC terus mempersembahkan warisan budaya Malaysia yang pelbagai, keunggulan seni serta hospitaliti yang mesra kepada dunia, mencerminkan aspirasi negara ke arah sebuah masyarakat yang progresif, harmoni dan inovatif.
Mesyuarat yang berlangsung selama lima hari itu turut menampilkan pelbagai hasil kraf tradisional, tekstil, karya seni dan produk kreatif tempatan melalui penganjuran bazar seni dan kraf Borneo. Penganjuran Bazar tersebut membuka ruang kepada para perwakilan dan orang ramai untuk mengenali serta menghargai kehalusan seni dan ekspresi budaya para penggiat seni tempatan.


































