Joniston hadir menyokong calon GRS untuk kerusi DUN Kadamaian, James Muyou dalam sesi berkempen di Kampung Malangkap Kapa di Kadamaian, hari ini.
KADAMAIAN: Gerakan kempen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kadamaian terus diperkukuh apabila calon Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai hadir membantu jentera parti bagi memastikan kemenangan James Muyou, calon GRS di kawasan itu .
Kehadiran pimpinan GRS dari luar kawasan itu mencerminkan tumpuan gabungan terhadap kerusi Kadamaian yang dilihat sebagai antara kawasan penting untuk ditawan pada pilihan raya negeri ini.
Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS berkata, kerjasama antara calon dan jentera merentas kawasan adalah amalan biasa dalam gabungan bagi menunjukkan semangat setiakawan dan kesepaduan parti.
“Dalam GRS, kita bergerak sebagai satu pasukan. Semangat setiakawan ini penting bagi memastikan tidak berlaku perpecahan dan supaya rakyat lihat kita bekerja bersama,” katanya dalam sesi berkempen di Kampung Malangkap Kapa di sini, hari ini.
Beliau turut hadir berkempen di Kampung Malangkap Noriou. Sebelum itu, beliau mengadakan walkabout di Pekan Nabalu dan ceramah di Pusat Mengundi Daerah (PDM) Tomis di Kiulu.
Joniston yang dikenali atas sumbangan dan peranannya dalam pembangunan pelancongan luar bandar di Kadamaian berkata, kekuatan gabungan tempatan amat diperlukan untuk memastikan Sabah kekal dominan dalam membuat keputusan berhubung pembangunan negeri.
“Apabila gabungan tempatan stabil, keputusan yang menyentuh kepentingan rakyat Sabah dapat dibuat dengan lebih tersusun dan menepati keperluan sebenar,” jelasnya.
Mengulas sentimen pihak tertentu yang mempertikai kerjasama GRS dengan parti nasional, Joniston menjelaskan bahawa hubungan negeri–Persekutuan perlu dijaga bagi memastikan agenda pembangunan Sabah tidak tergendala.
Katanya, kerjasama negeri-Persekutuan tidak harus dilihat secara negatif kerana ia merupakan hubungan dua hala yang memberi manfaat kepada Sabah.
“Sabah juga mempunyai peranan penting dalam memastikan kestabilan politik negara…sentimen negatif hanya akan merugikan rakyat kerana ia mengganggu fokus terhadap agenda pembangunan dan perkhidmatan di peringkat akar umbi… Yang penting ialah suara Sabah kekal kuat,” tambahnya.
Joniston menyeru pengundi Kadamaian memberikan sokongan kepada James sambil menegaskan bahawa kemenangan calon GRS akan memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik negeri.
Kadamaian menjadi tumpuan kerana penyandang kawasan itu ialah Presiden UPKO dan mantan menteri persekutuan Datuk Ewon Benedick.

































