Anifah Aman
BONGAWAN: Pembangunan Bongawan sebagai salah satu Hab Minyak dan Gas di Sabah akan menjadi antara teras strategik manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan ini sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DU) ke-17.
Calon GRS, Tan Sri Anifah Aman berkata, Bongawan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai hab industri tenaga, memandangkan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) turut diwujudkan di kawasan itu hasil usaha beliau ketika menjadi Ahli Parlimen Kimanis sebelum ini.
Menurutnya, perancangan tersebut mampu direalisasikan melalui pengalaman luas serta hubungan baik yang beliau jalinkan dengan pelbagai pihak, termasuk pihak berkepentingan luar negara semasa menjawat jawatan Menteri Luar.
“Ia bukan sekadar cadangan politik tetapi satu agenda pembangunan yang saya yakin boleh direalisasikan berdasarkan pengalaman saya dan potensi besar yang dimiliki Bongawan.
“Kita berjaya mewujudkan SOGT di Kimanis yang kini menjadi tonggak industri tenaga di Sabah dan jika itu boleh dicapai, tidak mustahil Bongawan mampu mengulangi kejayaan yang sama.
“Kita mahu memastikan pembangunan ini bukan lagi harapan kosong. Jika Bongawan dijadikan hab minyak dan gas, rakyat Bongawan akan menjadi penerima manfaat utama,” katanya ketika berucap pada satu ceramah di sini.
Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) berkata, penubuhan Hab Minyak dan Gas di Bongawan akan membuka pelbagai peluang dan manfaat kepada penduduk, termasuk pertumbuhan ekonomi setempat yang pesat.
Selain itu katanya, pembangunan tersebut bakal melonjakkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat, khususnya golongan belia, dalam bidang tenaga kerja langsung dan tidak langsung, termasuk perkhidmatan sokongan industri.
Beliau berkata, hab tersebut juga berpotensi merancakkan pemodenan infrastruktur di Bongawan seperti rangkaian jalan raya, kemudahan pelabuhan kecil dan logistik, sistem bekalan air, elektrik serta telekomunikasi yang akan ditingkatkan bagi menyokong industri tenaga.
“Banyak lagi manfaat daripada usaha ini yang akan menjadikan Bongawan sebagai tumpuan baharu di Sabah, malah boleh menjadi zon strategik seperti Bintulu di Sarawak dan Kemaman di Terengganu.
“Ini juga akan mewujudkan identiti baharu kepada Bongawan sebagai pusat industri tenaga Sabah dan seterusnya dikenali di peringkat nasional,” jelasnya.
Sehubungan itu, Anifah menyeru rakyat Bongawan agar memberi sokongan serta mandat kepada GRS pada PRU DU17 untuk merealisasikan aspirasi pembangunan tersebut.
“Izinkan saya menebus perkara yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Saya tidak mahu meninggalkan legasi yang tergantung dan mahu menyelesaikan apa yang belum sempat disempurnakan.
“Ini adalah demi memastikan masyarakat Bongawan benar-benar menikmati pembangunan yang mereka layak terima. Dengan mandat baharu ini, saya bersedia memimpin usaha menjadikan Bongawan nadi industri tenaga Sabah.
“Seterusnya memastikan pembangunan besar ini memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, bukan kepada pihak tertentu sahaja. Inilah masa untuk kita membawa Bongawan ke tahap lebih tinggi, melangkaui retorik menuju pelaksanaan sebenar,” katanya.

































