KIULU: Calon Gabungan Rakyat Sabah, Datuk Joniston Bangkuai memperkenalkan beberapa inisiatif baharu dalam manifestonya yang dirangka khusus untuk menyediakan platform dan peluang baharu kepada komuniti Kiulu serta memperkukuh usaha sedia ada yang terbukti memberi manfaat.
Antara inisiatif baharu tersebut termasuk mewujudkan Kiulu Market Hub, Co-Working Mini Hub, Pusat Koperasi Pertanian Kiulu dan Program Niaga Wanita, dengan tumpuan kepada pembangunan ekonomi tempatan, pemberdayaan komuniti, dan sokongan kepada usahawan belia.
“Kami mahu komuniti Kiulu mempunyai ruang selesa untuk mengumpul idea, berkongsi inspirasi, memupuk kreativiti, dan menggunakan platform yang membolehkan mereka meningkatkan sumbangan kepada ekonomi tempatan serta menjana pendapatan secara mampan,” kata Joniston.
Dalam sesi walkabout di Tamu Pekan Nabalu pagi tadi, beliau menyerahkan manifesto kepada penduduk setempat dan peniaga sebagai rujukan terhadap inisiatif yang diketengahkan.
Program berterusan seperti Tabung Keusahawanan dan Kepimpinan Belia serta Tabung Pendidikan Kiulu – termasuk insentif pelajar cemerlang, insentif kemasukan universiti, dan dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) – akan terus diperhebatkan.
Sebagai kesinambungan pembangunan yang sedang berjalan, Joniston turut menekankan usaha memastikan pembinaan bangunan urusetia daerah kecil Kiulu disiapkan, memperluas capaian internet, membuka lebih banyak jalan pertanian, memperkukuh peranan pelancongan, serta meluaskan program kemahiran untuk semua lapisan masyarakat.
Tambah beliau, manifesto ini dibentuk untuk menyatukan komuniti Kiulu, memperkukuh semangat setempat, memacu pembangunan lestari, dan memastikan kesejahteraan setiap penduduk.
Beliau menyeru seluruh komuniti untuk bersama-sama menyokong inisiatif ini demi masa depan Kiulu yang lebih maju dan sejahtera.


































