Jamawi (dua dari kanan) menyantuni seorang peniaga sayur di Tamu Pekan Tenom.
TENOM: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menegaskan bahawa pendidikan dan pelancongan akan menjadi dua pemacu utama pembangunan kawasan itu, selaras dengan lapan perkara utama yang digariskan dalam manifestonya.
Beliau berkata, Melalap memiliki potensi besar untuk menjadi pusat pendidikan baharu Sabah, khususnya dengan kewujudan tanah seluas 200 ekar yang telah digazetkan, termasuk sebahagiannya sebagai kawasan pendidikan oleh Majlis Daerah.
“Selama ini pelajar-pelajar kita belajar matrikulasi di Labuan. Jadi saya mencadangkan kepada Kerajaan supaya diwujudkan satu kampus matrikulasi untuk negeri Sabah, tetapi diletakkan di kawasan Melalap ataupun di Tenom,” katanya.
Menurut Jamawi, cadangan mewujudkan kolej matrikulasi itu adalah antara lapan perkara utama dalam manifestonya, yang telah beliau serahkan kepada Perdana Menteri baru-baru ini dan menerima isyarat positif.
Lapan perkara utama dalam manifesto tersebut ialah pembangunan pembangunan sektor pertanian; pembangunan modal insan; pembentukan Pekan Melalap secara lebih cepat dan efisien; penubuhan Yayasan Melalap; pembinaan kemudahan perubatan baharu di Pekan Melalap, mewujudkan institusi pendidikan tinggi di Melalap atau Tenom; pembinaan dan naik taraf infrastruktur jalan raya, serta pemerkasaan sektor pelancongan melalui pakej pelancongan Melalap–Tenom.
Dalam aspek pelancongan, Jamawi berkata, Melalap dan Tenom memiliki pelbagai tarikan unik yang belum dipromosikan secara optimum.
“Kita ada Pusat Kebudayaan Murut, Yong Farmstay, Taman Pertanian Sabah, Pangi Rafting dan kereta api yang sangat menarik. Semua ini boleh kita pakejkan,” katanya.
Beliau berkata, potensi pelancongan itu perlu digerakkan secara lebih terancang untuk mengembalikan semula arus pelawat ke Tenom yang semakin merundum sejak beberapa tahun kebelakangan.
“Ini kayu ukur untuk melihat bagaimana pembangunan ekonomi kawasan Melalap dapat ditingkatkan apabila lebih ramai pelancong datang,” katanya.
Jamawi turut menegaskan bahawa pendidikan dan pelancongan adalah dua sektor yang mampu mencetus perubahan besar dalam ekonomi Melalap dan memberikan impak langsung kepada kesejahteraan penduduk.
“Berikan kemenangan kepada saya, dan saya akan berusaha selama lima tahun untuk merealisasikan lapan perkara yang telah saya gariskan dalam manifesto,” katanya.


































