KOTA KINABALU: Manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dilancarkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, disifatkan sebagai dokumen pembangunan paling inklusif, holistik dan berpijak di bumi nyata untuk rakyat Sabah.
Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah berkata, manifesto berkenaan bukan sekadar rangka dasar pilihan raya, sebaliknya peta hala tuju yang boleh diukur, dicapai dan realistik dalam memastikan Sabah terus bergerak ke hadapan.
Aksyah menyamakan konsep pembangunan yang dibawa GRS itu sebagai membina sebuah rumah yang kukuh melalui pengukuhan ekonomi dan kestabilan politik.
Katanya, asas penting itu diperkuat melalui strategi hasil Pemberian Khas 40 peratus, pengembangan aktiviti ekonomi sedia ada serta sektor baharu menerusi Dasar Ekonomi Biru.

Aksyah Haji Nasrah
Menurutnya, manifesto GRS turut membawa pembaharuan institusi yang dianggap sebagai tatarias dalaman dan halaman rumah — menjadikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan Sabah lebih efisien dan efektif, serta selari dengan pelaksanaan dasar di bawah Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
Aksyah menegaskan, apabila struktur pembangunan negeri diperkukuh dan sistem pentadbiran diperkemas, negeri ini akan menjadi ruang kondusif untuk membesarkan generasi masa depan.
Antara tawaran GRS yang memberi tumpuan kepada masa depan itu termasuk pembangunan modal insan, perumahan mampu milik, pengukuhan sosial, perpaduan dan Tabung Kekayaan Anak Sabah serta penambahbaikan infrastruktur asas.
“Semua dasar ini menjadi jalan untuk rakyat Sabah bersama-sama mencapai destinasi akhir — Sabah Maju Jaya,” katanya.
Menegaskan manifesto itu bukan sekadar janji pilihan raya, Aksyah berkata ia adalah usaha penyempurnaan dan pengukuhan Halatuju SMJ 2.0 yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri.
Aksyah menyeru rakyat supaya memberi mandat sekali lagi kepada GRS sebagai gabungan parti tempatan yang menjadi tunjang kestabilan di Sabah.
Katanya, kestabilan politik penting untuk memastikan rakyat dipandang bermaruah, bernilai dan bersatu.
Beliau mengingatkan, kesilapan memilih kerajaan hanya akan merendahkan martabat rakyat sehingga Sabah terus dipandang hina oleh luar.
“Sabah adalah rumah kita. Kitalah yang bertanggungjawab menjaganya kerana kita tuan sebenar rumah ini,” katanya.





























